'Saya mahu mulakan hidup baharu'
GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] "Saya mahu mulakan hidup baru, lupakan apa yang berlaku sebelum ini," kata Beh Chew Boo, rakyat Malaysia yang terlepas dari tali gantung di Singapura atas kesalahan memiliki dadah.
Menurut anak jati Pulau Pinang ini, dia bersyukur dapat pulang ke negeri ini untuk bersama-sama keluarga selepas 53 bulan berada di penjara Singapura.
Chew Boo berkata, dia belum mempunyai perancangan, namun akan memulakan hidup baharu selepas melalui detik hitam dalam hidupnya.
"Saya sangat gembira dapat pulang ke sini (Pulau Pinang). Saya rasa bebas.
"Buat masa ini, saya nak habiskan masa dengan keluarga terutamanya anak perempuan tunggal saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Ketika dihubungi, Chew Boo baharu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dari Singapura dengan pesawat Scoot Airlines pada jam 9.25 pagi.
Dia bagaimanapun perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin iaitu di sebuah hotel di negeri ini.
Ditanya mengenai keadaan kesihatannya, dia mengakui berada dalam keadaan baik dan sihat.
"Saya sihat, terima kasih. Tak sabar nak jumpa keluarga tetapi kena kuarantin dulu," katanya.
Dia berkata, walaupun gembira selepas dibebaskan, dia akan merindui 'geng' nya di Singapura yang sering memberi semangat kepadanya setiap hari.
"Saya rasa seperti bayi yang baru dilahirkan. Saya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baharu terutamanya dalam keadaan penularan Covid-19.
"Secara keseluruhan, saya memerlukan masa untuk mulakan hidup baru," katanya.
Ditanya mengenai perasaan keluarganya, Chew Boo berkata, ibu bapa tidak mahu memikirkan lagi peristiwa hitam yang lalu dan amat bersyukur selepas mahkamah mendapati dia tidak bersalah di atas pertuduhan yang dihadapinya.
"Saya tak selesa jika (awak) mahu keluarga tetapi bapa saya kata, saya dapat balik, itu sudah baik.
"Yang lain-lain (kejadian sebelum ini) tidak penting lagi," katanya.
Sementara itu, adik perempuannya, Beh Siew Yee, 28, berkata, seluruh keluarganya gembira kerana telah lama menunggu kepulangan abangnya itu.
"Kami sekeluarga amat gembira kerana akhirnya terbukti abang saya tidak bersalah. Pada mulanya, kami amat sedih kerana selalunya jika kes di luar (Singapura), mesti hukuman gantung mati.
"Tetapi kini abang sudah balik untuk jumpa keluarga. Saya pun tak pasti perancangan dia (abang) selepas ini. Buat masa ini, biar abang dikuarantin dahulu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam pada itu, bapanya, Beh Ah Ba, 72 berkata, dia amat berterima kasih kepada pengurusan penjara Singapura kerana membenarkannya berhubung dengan anaknya itu sekali setiap bulan.
"Saya dapat berbual dengan anak saya sekali setiap bulan selama 30 minit. Kami juga dibenarkan untuk melakukan panggilan video ketika sambutan Tahun Baharu Cina.
"Saya tidak mahu fikir tentang apa yang berlaku sebelum ini, yang penting anak saya selamat sampai dan diputuskan tidak bersalah. Mengenai apa orang nak cakap mengenai anak saya, saya tidak kisah, yang saya tahu, anak saya diputuskan tidak bersalah," katanya.
Dia juga memohon bantuan daripada mana-mana pihak untuknya memulakan hidup baharu dan mengalu-alukan mereka yang sudi menghulur bantuan kepadanya.
Chew Boo merupakan anak kedua daripada empat beradik yang mana bapanya seorang nelayan.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Chew Boo dibebaskan selepas panel hakim mengetepikan permohonan pihak pendakwa untuk mengenakan empat pertuduhan yang lebih ringan berkaitan dadah terhadapnya.
Hakim yang terdiri daripada Sundaresh Menon, Tay Yong Kwang dan Steven Chong, membuat keputusan 2-1 yang memihak kepada Chew Boo.
Chew Boo ditahan pada 26 Oktober 2016 atas dakwaan cuba membawa masuk 499.97 gram methamphetamine dari Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura.
Dia berhadapan dengan lima pertuduhan membawa dadah ke republik itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia bebas tuduhan dadah di Singapura
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!