'Sky Train' modenkan perkhidmatan kereta api Sabah

Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik (kanan) menerima cendera kenangan daripada Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Leonard Stephen Poyong pada majlis program 'Goal Setting' jabatan itu hari ini. - Bernama
Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik (kanan) menerima cendera kenangan daripada Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Leonard Stephen Poyong pada majlis program 'Goal Setting' jabatan itu hari ini. - Bernama
A
A
A

TUARAN - Projek 'Sky Train' iaitu kereta api moden menghubungkan kawasan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu merupakan antara projek sedang diusahakan bagi memodenkan perkhidmatan kereta api Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, projek 'Sky Train' itu pada masa ini sedang dirancang termasuk kos dan pelan perlaksanaan, bagaimanapun antara laluan awal yang dikenal pasti ialah dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu ke pusat bandar raya dan ke Alamesra dekat sini.

"Beberapa pelabur yang berminat telah dikenal pasti dan beberapa siri perbincangan telah dilaksanakan untuk merencanakan projek ini dan projek ini diharap dapat dimulakan dalam masa terdekat.

"Projek 'Sky Train' ini bakal mengubah wajah Bandaraya Kota Kinabalu menjadi lebih dinamik dan menggalakkan ketibaan lebih ramai pelancong asing," katanya dalam ucapan perasmian Sesi ‘Goal Setting’ Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) di sini pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Kerja Raya II Sabah, Datuk Robert Tawik dan turut hadir Pengarah JKNS, Leonard Stephen Poyong.

Bung Moktar berkata, selain 'Sky Train' beberapa projek naik taraf dilaksanakan bagi memodenkan perkhidmatan itu termasuk menaik taraf landasan Tenom Lama ke Stesen Tenom sejauh 1.8km; dan mengganti penggalas kayu kepada konkrit bagi landasan 22km dari stesen Beaufort ke stesen Hologilat.

Beliau berkata, selain itu perolehan pelbagai aset serta jentera bagi memodenkan perkhidmatan itu juga sedang dibuat antaranya enam unit Diesel Multiple Unit (DMU) power cars dan dua unit lokomotif dijangka siap dalam tempoh 24 bulan ini.

"Tiga set DMU dan enam unit gerabak penumpang baharu juga dijangka disiapkan secara berperingkat dalam tahun ini... perolehan aset baharu menggantikan aset sedia ada yang usang dapat memastikan perkhidmatan lebih selesa dan konsisten," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Bung berkata, beberapa perancangan jangka panjang memperluas rangkaian perkhidmatan kereta api Sabah juga juga sedang dibincangkan antaranya menghubungkan rangkaian kereta api ke Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu.

"Landasan (kereta api) menghubungkan Sandakan, Lahad Datu dan Tawau; serta Tenom, Keningau dan Kalabakan juga sedang dilihat dan kajian akan dibuat untuk mengembangkan rangkaian landasan ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!