Melaka sedia batalkan projek KLIP jika gagal syarat patuhi EIA

Sulaiman ketika sidang media di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Khamis.
Sulaiman ketika sidang media di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Melaka bersedia membatalkan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) sekiranya projek mega dianggarkan bernilai RM15 billion itu tidak mematuhi syarat Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, keputusan pembatalan itu tidak terhad kepada projek KLIP sahaja, malah mana-mana projek yang tidak mematuhi piawaian EIA Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak terkecuali bakal berdepan nasib sama.

Menurutnya, biarpun projek berskala besar itu mampu memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, namun segala pelaksanaan projek pembangunan perlu melepasi tahap penilaian, mengikut syarat yang ditetapkan dan mendapat persetujuan semua pihak.

"Memang semua pembangunan yang mahu dibuat seperti kerja penambakan laut mesti melepasi EIA. Ia bukan hanya KLIP sahaja.

"Kalau kawasan M-Wez (Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka) itu pun tidak melepasi tahap penilaian, kita tidak akan meneruskan dan ia tidak boleh dilaksanakan.

"Ini adalah prosedur operasi standard (SOP) yang saya setuju dan perlu dipatuhi," katanya ketika sidang media di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada Khamis.

Sulaiman berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang membantah KLIP bagi mengelakkan kesan buruk terhadap kawasan yang berada di persempadanan tersebut.

Pada Rabu, Aminudin membantah pembinaan KLIP di Kuala Linggi, Melaka sekiranya projek itu tidak mematuhi Kajian EIA JAS.

Artikel Berkaitan:

Projek pembinaan KLIP bernilai RM15 bilion itu dijadual akan dimulakan pada suku pertama tahun ini.

Projek tersebut dijangka mengambil tempoh antara lima hingga lapan tahun untuk disiapkan di atas tanah yang ditambak atas laut berkeluasan 248 hektar.

Pembangunan M-Wez pula membabitkan kawasan KLIP sebagai hab perkhidmatan industri minyak dan gas, Pelabuhan Tanjung Bruas sebagai hab pelabuhan kontena dan Melaka Gateway sebagai hab Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT).

ARTIKEL BERKAITAN: Negeri Sembilan bantah KLIP jika tidak patuh EIA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!