'Kami menderita separuh masa pertama'
PENGENDALI Paris Saint Germain (PSG), Mauricio Pochettino mengakui pasukannya terpaksa menempuh derita terutama pada separuh masa pertama dalam aksi timbal balik 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara ketika menentang Barcelona.
Menurutnya, Barcelona memberikan tentangan cukup sukar dan cuba mencari gol penyamaan selepas pasukan gergasi Perancis itu selesa mendahului agregat 4-1 dalam perlawanan pertama bulan lalu.
"Kami menderita pada separuh masa pertama. Kami terpaksa bergelut dengan hantaran daripada pemain Barcelona. Secara psikologinya ia satu ujian buat kami, namun pada separuh masa kedua kami telah berjaya bangkit.
"Apa yang jelas, kami terlalu fikirkan untuk layak ke suku akhir pada separuh masa pertama dan ia menyebabkan kami hilang fokus. Sudah tentu saya tidak gembira dan ketika di bilik persalinan saya meminta pemain bermain dengan lebih baik," katanya.
Dalam perlawanan itu, Kylian Mbappe terlebih dahulu membuka tirai jaringan buat PSG menerusi jaringan penalti pada minit ke-30 sebelum disamakan oleh Messi menerusi gol daripada luar kotak penalti pada minit ke-37 menyaksikan perlawanan berkesudahan seri 1-1.
Bagaimanapun, PSG mara ke saingan suku akhir menerusi kiraan agregat 5-2 selepas menang pada pertemuan pertama 4-1.
Dalam pada itu, Pochettino turut memuji prestasi yang dipamerkan penjaga golnya, Keylor Navas yang bertindak cemerlang menyelamatkan banyak percubaan bahaya Barcelona termasuk menidakkan penalti Lionel Messi sebelum babak pertama berakhir.
"Keylor memainkan peranan yang amat besar,Kami boleh katakan aksinya telah membuktikan kualitinya. Dia telah membuktikan dirinya perada di tahap tertinggi di dunia. Saya fikir kita semua dapat melihatnya malam ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!