Lebih 400 hektar tanah bendang diganti semula

Saarani pada sidang akhbar di Kampung Nibung Hangus, Bagan Serai pada Khamis.
Saarani pada sidang akhbar di Kampung Nibung Hangus, Bagan Serai pada Khamis.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan Perak menggantikan lebih 400 hektar tanah sawah yang telah ditukar syarat menjadi tanah pembangunan bagi projek ternakan ikan Arowana dekat Bukit Merah dalam daerah Kerian.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, dasar ganti semula itu perlu dibuat bagi mengelak berlakunya krisis penyusutan kawasan sawah yang boleh mengancam pengeluaran beras negara.

Menurutnya, penternakan arowana di kawasan itu telah membangun sebagai satu industri besar mengakibatkan lebih 400 hektar tanah pertanian yang sepatutnya digunakan bagi tujuan bendang telah ditukar syarat tanah.

"Atas sebab itu kerajaan negeri terpaksa cari tanah di kawasan lain untuk diwartakan kembali sebagai tanah pertanian, ia perlu melibatkan jumlah yang sama.

"Adalah menjadi satu kesalahan dan risiko kepada Dasar Sekuriti Makanan Negara sekiranya bendang ini tidak diganti.

"Katakanlah berlaku bencana alam atau perang, bermakna kita perlu menyediakan bekalan beras sendiri tanpa perlu lagi bergantung kepada bekalan beras import," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan benih ikan lampam, baung dan udang di Kampung Nibung Hangus, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menetapkan langkah sistematik dan prosedur yang ketat bagi sebarang penukaran status tanah pertanian sama ada bagi tujuan pembangunan projek perumahan mahupun industri.

Katanya, setiap permohonan perlu melalui Kebenaran Merancang yang kemudiannya akan dirujuk ke Mesyuarat Exco bagi pertimbangan dan kelulusan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita dapati tanah itu merupakan tanah bendang yang termasuk dalam akta, maka kita tidak akan luluskan.

"Jika kelulusan syarat tukar tanah itu tidak diberikan, maka mereka tidak boleh melakukan apa-apa pembangunan di tanah itu," katanya.

Dalam siri lawatan sempena program Menteri Besar Perak Bersama Rakyat (Mesra) di daerah Kerian itu, sebanyak 100,000 benih udang galah, 73,000 benih ikan lampam serta 15,000 benih ikan baung dilepaskan ke dalam Sungai Nibung Hangus.

Langkah itu sebagai usaha menambah sumber pendapatan nelayan tempatan serta tarikan pemancing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!