Air mentah: Kerajaan negeri dijangka raih pulangan tambahan

Tuan Ibrahim pada sidang akhbar sempena majlis sambutan ulang tahun KASA yang pertama.
Tuan Ibrahim pada sidang akhbar sempena majlis sambutan ulang tahun KASA yang pertama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan negeri dijangka akan menikmati pulangan tambahan hasil daripada pelaksanaan Mekanisme Penetapan Harga Air Mentah.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, buat masa ini, air mentah dijual pada satu harga.

"Air pada gred satu boleh dijual pada harga yang mahal kerana kos rawatannya murah berbanding gred tiga dan empat," katanya pada sidang akhbar selepas majlis sambutan ulang tahun KASA yang pertama pada Khamis.

Menurutnya, selain memberi pulangan kepada kerajaan negeri, pelaksanaannya turut menjamin kelestarian alam sekitar.

"Sebagai contoh, pembalakan yang pada masa ini menjadi sumber pendapatan bagi negeri tertentu dan pada suatu ketika nanti hutan tidak lagi boleh ditebang selaras dengan komitmen negara memelihara lebih 50 peratus kawasan hutan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pembalakan dapat dikawal dengan baik, ia akan menghasilkan air yang berkualiti.

"Kita mahu kedua-duanya iaitu sektor air dijaga manakala hutan pula dapat dipelihara," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, cadangan itu telah mendapat maklum balas positif daripada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini, kita perlu bangunkan sistem bagi memastikan negeri yang menjaga sumber air akan mendapat manfaat terhadap tindakan pengawalan.

"Sebagai contoh kawasan Ulu Muda yang dijaga sebagai sumber air bagi Kedah, Perlis dan sebahagian Pulau Pinang.

"Jadi, negeri ini perlu mendapat haknya dengan menjual air pada harga yang lebih tinggi, jadi kita perlu bina sistem," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pengguna tidak akan terjejas dengan harga jualan air mentah yang tinggi.

"Ini kerana loji rawatan air tidak menelan kos yang tinggi untuk penyelenggaraan disebabkan sumber air mentah berada pada gred satu," katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menggesa penglibatan sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pelaksanaan denai sungai seluruh negara.

"Sebenarnya sungai ini boleh memberi pulangan kepada pihak tertentu seperti NGO dan penduduk setempat jika ia dijaga dengan baik.

"Contohnya, pelaksanaan denai sungai di Pengkalan Datu, Kubang Kerian, Kelantan yang kini menjadi tarikan sehingga 1,000 pelawat pada hujung minggu," katanya yang turut menyasarkan 10,000 kilometer denai sungai dibina di seluruh negara.

Majlis itu turut disertai oleh Timbalan Menteri KASA, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Ketua Setiausaha, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Dalam ucapannya, Tuan Ibrahim berkata, sektor air negara memerlukan anjakan serta pendekatan baharu setanding dengan sektor utiliti lain.

Katanya, ia perlu berkembang menjadi pemangkin yang kukuh untuk merangsang pulangan pelaburan kompetitif.

"Di bawah Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040, saya menjangkakan sejumlah RM280 bilion dana pelaburan diperlukan untuk menaik taraf infrastruktur demi kelangsungan bekalan air jangka panjang.

"Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan agar satu kerangka model pendanaan baharu mesra pelabur perlu dikemukakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!