Yayasan Pahang salur RM52 juta bantuan pendidikan
KUANTAN - Yayasan Pahang memperuntukkan RM52 juta bantuan pendidikan kepada 61,721 pelajar anak Pahang tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah yang diperuntukkan itu, RM18.8 juta untuk Biasiswa Sekolah Menengah melibatkan 31,751 penerima dan RM6.3 juta untuk Biasiswa Sekolah Rendah membabitkan 21,002 penerima.
Menurutnya, RM3.6 juta lagi disediakan untuk Program Peningkatan Kualiti Pendidikan.
"Melalui peruntukan itu juga, Yayasan Pahang menyediakan bantuan pendidikan peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) dengan RM17.2 juta untuk pinjaman pendidikan kepada 2,633 penerima, RM3.1 juta untuk biasiswa (335 penerima) dan RM3 juta untuk Geran Awal Bantuan ke IPT (6,000 penerima)," katanya.
Majlis Penyerahan Sumbangan Pendidikan untuk Anak Negeri Pahang diadakan dalam satu majlis di Wisma Sri Pahang, di sini pada Rabu.
Wan Rosdy berkata, Yayasan Pahang menjadi penyumbang utama kepada bantuan pendidikan di negeri ini berbanding biasiswa tajaan pihak lain setiap tahun.
"Keistimewaan biasiswa Yayasan Pahang ini, permohonan hanya dibuat sekali dan akan berterusan sehingga tamat persekolahan dalam satu-satu peringkat pengajian tersebut," katanya.
Tambah beliau, Yayasan Pahang turut membantu murid dan pelajar meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah melalui program akademik seperti Program Jawab Untuk Jaya (JUJ), Program intervensi Semua Subjek A (PiSSA), Program Perancangan Harus Lulus (Perhalus) dan Program Anak Yatim Permata Hati (Perhati).
"Selain itu, program berimpak tinggi seperti Program Baca Cepat Kawanku turut dijalankan bagi membantu murid yang tidak boleh membaca dan Program Peningkatan Pendidikan Khas bagi membantu murid berkeperluan khas," katanya.
Beliau berkata, bermula dengan peruntukan hanya RM1.5 juta pada tahun 1983, Yayasan Pahang kini berjaya mendapatkan sumber pendapatannya sendiri untuk diagihkan kepada anak-anak negeri Pahang.
"Sehingga kini, pihak yayasan telah membelanjakan kira-kira RM1.34 bilion, sekali gus memberi manfaat kepada 1.7 juta anak-anak negeri dalam pelbagai peringkat pendidikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!