Kilang papan beroperasi lebih 20 tahun atas tanah kerajaan diroboh

Kerja-kerja merobohkan kilang kayu dan papan, stor penyimpanan serta kediaman pekerja dilakukan dalam Operasi Penguatkuasaan Pencerobohan Tanah Kerajaan di Jalan jeti, Pelabuhan Klang pada Khamis. - Foto Bernama
Kerja-kerja merobohkan kilang kayu dan papan, stor penyimpanan serta kediaman pekerja dilakukan dalam Operasi Penguatkuasaan Pencerobohan Tanah Kerajaan di Jalan jeti, Pelabuhan Klang pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Sebuah kilang papan yang beroperasi secara haram lebih 20 tahun di tanah kerajaan di Jalan Jeti, Pelabuhan Klang, di sini dirobohkan menerusi satu operasi bersepadu agensi kerajaan negeri.

Operasi bersepadu yang diketuai oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang itu turut disertai antaranya petugas Majlis Perbandaran Klang (MPK), polis, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan ia merupakan kilang pertama dirobohkan di Klang tahun ini.

Penolong Pegawai Daerah Klang (Teknikal dan Penguatkuasaan), Mohamad Saiful Azri Mohd Fauzi berkata, operasi dijalankan setelah pihaknya menerima aduan daripada penduduk di Taman Teluk Gedung Indah, dekat sini susulan aktiviti pembuangan sampah, pencemaran sungai dan bau pada November 2018.

“Siasatan di tapak itu mendapati terdapat kesan pelupusan sampah lama, struktur binaan stor, rumah pekerja dan kilang papan yang telah dibina di atas tapak (tanah kerajaan) tanpa kebenaran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi perobohan berkenaan di sini pada Khamis.

“Pentadbir Tanah Klang telah mengeluarkan Notis Amaran Pencerobohan Tanah Kerajaan di bawah kesalahan Seksyen 425 dan 426A Kanun Tanah Negara 1965 sebanyak tiga kali, yakni pada 4 Disember 2018, 15 Januari 2019 dan 3 Februari lepas kepada pemilik untuk mengosongkan tapak,” tambahnya.

Mohamad Saiful Azri berkata, perobohan struktur kilang di tanah kerajaan seluas 4,418 meter persegi itu melibatkan satu gudang stor simpanan barang, satu binaan kilang papan, dua rumah pekerja dan satu pondok sembahan.

Katanya, sejak 2018 pihaknya telah mengaturkan perbincangan bersama pengusaha bagi memberi ruang kepada pemilik struktur untuk mengosongkan tapak.

“Memandangkan kedudukan kilang ini telah bercanggah dengan pelan Rancangan Tempatan (RT) MPK iaitu sebagai kawasan perumahan, maka tiada sebarang kebenaran pembinaan kilang boleh diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, Pentadbir Tanah Klang telah mengeluarkan notis peringatan terakhir pada 3 Februari lepas bertempoh 14 hari kepada pemilik struktur untuk mengosongkan tanah berkenaan.

“Namun sehingga kini pemilik struktur masih ingkar dan enggan mengosongkan tapak dan membawa kepada pelaksanaan operasi pada hari ini. Selain perobohan, pemilik juga akan berdepan tindakan kompaun oleh Pentadbir Tanah Klang,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!