Lebih 300 hektar hutan tanah gambut di Pahang terbakar
KUANTAN – Lebih 300 hektar kawasan hutan tanah gambut membabitkan tiga daerah di Pahang terbakar sejak awal bulan ini.
Kebakaran itu melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin yang menyumbang kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat terutamanya bahagian selatan negeri ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pemantauan udara telah dilakukan dan mendapati banyak kawasan panas atau ‘hotspot’ yang terbakar.
"Hasil daripada pemantauan itu, kita dapati kawasan paling besar terjejas adalah di Muadzam Shah, Rompin membabitkan 300 hektar, diikuti di Kampung Alur Beruang (tiga hektar) dan Kampung Cenderawasih, Sungai Miang, Pekan dan Kampung Menchali dan Leban Chondong, Rompin masing-masing dua hektar.
"Jadi, anggota kita sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran bagi mengelak api merebak kerana kawasan kebakaran itu berhampiran dengan ladang sawit,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Beliau berkata, pesawat digunakan bukan saja untuk membuat pemadaman dari udara tetapi turut menghantar pasukan khas ke lokasi kejadian.
"Kalau kawasan itu sukar untuk dimasuki melalui jalan darat, kita akan menghantar mereka menggunakan pesawat.
"Operasi ini melibatkan seramai 200 anggota yang terlibat bagi memadamkan kebakaran hutan di tiga daerah ini," katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, pihaknya telah membuat sekatan api atau 'fire break' bersama Pejabat Hutan negeri bagi mencegah kebakaran daripada terus merebak.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian kebakaran.
"Kita sebolehnya mahu mencegah kebakaran berlaku sama ada kebakaran baru atau berulang terutamanya berhampiran kawasan yang mempunyai penduduk atau ladang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!