'Sayu lihat anak-anak membesar dalam bengkel'

LZS membantu memindahkan keluarga Mohammad Suhaimi yang sebelum ini menumpang di sebuah bengkel sekitar Bukit Sentosa. Foto: Ihsan FB LZS
LZS membantu memindahkan keluarga Mohammad Suhaimi yang sebelum ini menumpang di sebuah bengkel sekitar Bukit Sentosa. Foto: Ihsan FB LZS
A
A
A

HULU SELANGOR - Nasib sebuah keluarga yang terpaksa tinggal menumpang di sebuah bengkel sekitar Bukit Sentosa terbela apabila mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menerusi kemas kini di laman Facebook pada Khamis, LZS berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung situasi dihadapi keluarga Mohamad Suhaimi Ishak itu menerusi pertubuhan kebajikan setempat di sana.

Menurutnya, Mohammad Suhaimi terpaksa membuat keputusan sukar untuk membawa keluarganya menumpang di bengkel tempat dia mencari nafkah selepas berdepan kekangan kewangan.

"Sayu juga hati apabila lihat anak-anaknya yang sedang membesar terpaksa tinggal di bengkel dalam keadaan kurang selesa," katanya.

Dalam pada itu, LZS berkata, Mohammad Suhaimi menghadapi kekangan untuk menyewa rumah memandangkan pendapatannya digunakan untuk perbelanjaan harian, pendidikan anak dan kos rawatan isterinya yang menghidap pelbagai penyakit kronik seperti jantung, kencing manis serta darah tinggi.

Menurut LZS, pihaknya telah membantu keluarga berkenaan bagi mendapatkan rumah lebih selesa dan menanggung kos sewaan bulanan mereka.

"Senyuman kesyukuran terpancar di wajah mereka apabila kami memaklumkan untuk membantu berpindah ke rumah sewaan yang lebih selesa.

"Terima kasih pembayar zakat Selangor kerana wang zakat anda tunaikan dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!