Bomba Perak terima dua bot menyelamat
TAIPING - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima dua bot gentian kaca sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk banjir.
Dua bot disumbangkan Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang Selama (LMS) itu masing-masing ditempatkan di balai bomba Taiping dan Selama yang sebelum ini menjadi antara kawasan terkesan teruk akibat banjir.
Pegawai Bahagian Keselamatan Kebakaran Zon 2 JBPM Perak, Mohd Arshad Abdullah berkata, penyediaan bot itu dicetuskan oleh Pegawai Daerah sendiri selaku Pengerusi Bencana Daerah yang prihatin dengan pengurusan bencana.
"Walaupun ditempatkan di balai bomba, ia akan digunakan bersama oleh agensi di bawah pengurusan bencana yang lain jika ada keperluan mendesak," katanya.
Menurutnya, penyediaan kemudahan bot berkenaan sudah pasti dapat mempertingkatkan keberkesanan operasi penyelamatan banjir di daerah LMS.
"Bot jenis ini lebih kecil, ringan dan mudah dikendalikan sesuai dengan operasi penyelamatan di kawasan air cetek, pedalaman dan susur anak sungai," katanya.
Penyerahan bot berkenaan disempurnakan Pegawai Daerah LMS, Mohamed Akmal Dahalan kepada Ketua Zon 2 JBPM Perak, Zaipulbahri Mat Rusok di Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, di sini pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!