Tapak warisan: Penempatan penduduk, maahad tahfiz tidak dipindahkan

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) mendengar taklimat daripada pasukan pengkaji sejarah, Datuk Dr Mokhtar Saidin (dua dari kanan) ketika melawat ke tapak peleburan besi abad ke-3 Sungai Batu.
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) mendengar taklimat daripada pasukan pengkaji sejarah, Datuk Dr Mokhtar Saidin (dua dari kanan) ketika melawat ke tapak peleburan besi abad ke-3 Sungai Batu.
A
A
A

ALOR SETAR - Penempatan penduduk termasuk sebuah maahad tahfiz yang menduduki tanah berhampiran tapak warisan Sungai Batu di Merbok tidak akan dipindahkan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka akan diberikan lot tanah yang sesuai untuk didiami mengikut undang-undang tanah dan syarat ditentukan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, kawasan penampan juga akan dibina bagi menjarakkan tapak warisan terbabit dengan rumah penduduk agar tapak warisan berkenaan tidak tercemar setelah penempatan baharu dibina.

“Di sebelah tapak warisan itu adalah tanah milik kerajaan negeri yang didiami sebilangan keluarga secara tidak sah termasuk sebuah maahad tahfiz.

"Oleh kerana sebahagian besar keluarga itu kurang berkemampuan, kita tidak bercadang pindahkan mereka ke tempat lain,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Pejabat Daerah Kuala Muda telah diarahkan untuk plotkan tanah berkenaan mengikut ukuran munasabah supaya dapat didiami keluarga yang tiada tapak rumah dan benar-benar memerlukan.

“Membela orang miskin yang tiada rumah untuk didiami adalah keutamaan sama seperti memelihara tapak warisan. Kerajaan negeri juga tidak pernah menghalau sekumpulan penyelidik yang menjalankan kajian arkeologi Sungai Batu seperti didakwa, sebaliknya mengambil beberapa langkah bagi memastikan tapak warisan itu terpelihara,” katanya.

Lokasi yang menempatkan tapak warisan arkeologi Sungai Batu dan penempatan penduduk.
Lokasi yang menempatkan tapak warisan arkeologi Sungai Batu dan penempatan penduduk.

Menurutnya, tapak warisan arkeologi Sungai Batu dimiliki Jabatan Warisan Negara selaras dengan Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang melindungi tapak-tapak warisan arkeologi melalui penyelidikan, pemuliharaan dan pemeliharaan.

Artikel Berkaitan:

“Tapak itu bukan milik mana-mana kumpulan penyelidik. Jabatan Warisan Negara memberi kebenaran kepada mereka menjalankan kajian atas tapak tersebut mengikut syarat tertentu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kontena yang digunakan pengkaji untuk menempatkan peralatan kajian dan ruang pameran terletak di atas tapak jalan baharu yang dicadangkan dibina bagi kemudahan penduduk.

“Tanah itu milik kerajaan negeri tetapi jalan belum dibina. Untuk selesaikan masalah ini, kerajaan negeri telah berunding dengan kumpulan pengkaji dan terdapat dua penyelesaian, sama ada kontena dipindahkan ke dalam tapak warisan yang disahkan tiada artifak di bawahnya atau jalan dilencongkan jika kontena tidak dialihkan supaya tidak ganggu pengkaji,” katanya.

Muhammad Sanusi turut menafikan pihaknya meluluskan pembinaan jalan di atas tapak warisan berkenaan, sebaliknya jalan sedia ada akan dialihkan ke kawasan luar tapak warisan.

“Jalan itu menghubungkan kawasan penduduk dengan jalan raya utama. Ia tidak boleh dibiarkan kerana akan ganggu tapak warisan itu. Untuk memelihara arkeologi dan memberi kemudahan kepada penduduk, kita putuskan untuk alihkan jalan berkenaan dari tapak warisan ke tapak baru atas tanah kerajaan, bersebelahan tapak warisan,” katanya.

Menurutnya, dakwaan kerajaan negeri tidak peka dengan tapak warisan dan mahu menghapuskan sejarah sama sekali tidak berasas.

“Kita akan terus memelihara tapak warisan Sungai Batu sebagai bahan sejarah yang membentuk tamadun dunia. Tamadun membentuk peradaban manusia.

"Manusia yang memahami tamadun merupakan manusia yang menjunjung adab dan tatasusila. Tindakan menyebarkan fitnah adalah perbuatan tidak bertamadun dan boleh memusnahkan peradaban,” katanya.

Sebelum itu, tular di media sosial mendakwa pembinaan jalan kampung diluluskan Muhammad Sanusi mengganggu kerja-kerja ekskavasi di tapak terbabit. Malah kerajaan negeri turut didakwa menghalau pasukan pengkaji sejarah apabila timbul isu persempadanan tanah milik negeri dengan Jabatan Warisan Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!