Kongres lulus pakej rangsangan ekonomi terbesar Biden

Pakej bantuan dicadangkan Biden itu dijangka dapat memulihkan semula ekonomi di AS yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. - Foto: Agensi
Pakej bantuan dicadangkan Biden itu dijangka dapat memulihkan semula ekonomi di AS yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Kongres Amerika Syarikat (AS) pada Rabu meluluskan pakej rangsangan ekonomi terbesar dalam sejarah negara itu berjumlah AS$1.9 trilion (RM7.8 trilion) di bawah rang undang-undang bantuan Covid-19 yang dicadangkan Presiden Joe Biden.

Keputusan itu dibuat selepas memperoleh 220-211 undi sokongan anggota Dewan Perwakilan yang dikuasai parti Demokrat yang dijangka dapat memulihkan ekonomi negara tersebut yang terjejas teruk akibat pandemik terbabit.

Demokrat menyifatkan kelulusan undang-undang itu sebagai tindak balas kritikal terhadap wabak yang telah meragut lebih 528,000 nyawa dan jutaan hilang pekerjaan.

Pakej rangsangan itu memperuntukkan AS$400 bilion (RM1.6 trilion) untuk pembayaran secara terus berjumlah AS$1,400 (RM5,752) kepada rakyat Amerika, bantuan berjumlah AS$350 bilion (RM1.4 trilion) kepada kerajaan negeri dan tempatan serta dana tambahan untuk pengedaran vaksin Covid-19.

Susulan ‘kemenangan’ pertama pentadbiran Biden, banyak pihak kini mula memberi tumpuan terhadap rang undang-undang utama yang dicadangkan beliau termasuk berkaitan pembaharuan imigresen dan inisiatif perubahan iklim. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!