Johor import sayur jika cuaca panas berpanjangan
JOHOR BAHRU - Johor berkemungkinan terpaksa mengimport lebih banyak sayur-sayuran dari negara luar sekiranya cuaca panas ketika ini berpanjangan sehingga menjejaskan pengeluaran tempatan sedia ada.
Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Pengguna negeri, Dr Chong Fat Full berkata, bekalan bagaimanapun masih lagi mencukupi untuk menampung permintaan pasaran tempatan buat masa ini.
“Bekalan sekarang belum lagi sampai ke tahap pengeluaran tidak cukup untuk menampung permintaan yang tinggi.
“Tetapi kami akan pantau dan berharap cuaca panas ini tidak akan berterusan. Kalau tidak, mungkin kita akan menghadapi masalah pengeluaran makanan termasuk sayur-sayuran,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan sama ada cuaca panas menjejaskan pengeluaran dan bekalan sayur-sayuran di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis itu ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Peruntukan Covid-19 kepada 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dataran Muafakat Ulu Tiram di sini pada Khamis.
Fat Full berkata, jika berlaku kekurangan bekalan makanan itu, Johor mungkin perlu mengimport dari beberapa negara termasuk India, China dan Thailand.
“Tetapi selagi pengeluaran domestik masih boleh membekalkan sayur-sayuran, sudah tentulah kita (kerajaan negeri) akan mengutamakan yang di sini (produk domestik) dahulu,” katanya.
Sementara itu, Fat Full berkata, pemberian peruntukan itu adalah bukti kerajaan prihatin terhadap nasib rakyat yang terjejas sumber ekonomi akibat pandemik Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!