KHM yakin MHL 2021 berjalan lancar
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) optimis penganjuran Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 yang berlangsung dalam konsep gelembung sukan bermula pada Khamis akan berjalan lancar.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, walaupun penganjuran kali ini sungguh mencabar, namun percaya perancangan teliti oleh Jawatankuasa Pertandingan membantu kelancaran perjalanan liga yang dijangka berakhir pada 3 April depan.
“Saya teruja untuk melihat apa bakal berlaku dalam tempoh sebulan penganjuran MHL berlangsung dan yakin kita mampu melihat satu mutu pertandingan serta kualiti yang cukup baik dipamerkan para pemain.
“Ini kerana, semangat para pemain juga cukup memberangsangkan bagi membuktikan kemampuan masing-masing setelah lama tidak beraksi di padang, seterusnya menghidupkan kembali sukan hoki negara,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama media di Kuala Lumpur pada Khamis.
Kali terakhir pemain hoki turun beraksi adalah pada saingan Piala Tun Abdul Razak September lepas yang menyaksikan pasukan Perak muncul juara bagi kategori lelaki manakala Pahang menjuarai kategori wanita.
Ditanya sama ada konsep gelembung sukan ini akan diteruskan bagi penganjuran Piala Sultan Azlan Shah pada Jun depan, Subahan berkata, masih terlalu awal bagi pihaknya untuk memikirkan mengenai kejohanan jemputan itu.
“Saya harap dan berdoa agar COvid-19 pulih pada Jun depan... sekiranya kes meningkat, kita terpaksa buat (gelembung sukan), namun terpulang kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya.
Sementara itu, Subahan berkata, kehadiran semula penonton ke stadium bukan keutamaan buat masa ini sebaliknya adalah untuk pemain diberi ruang kembali beraksi bagi meningkatkan prestasi mereka.
“Saya rasa tidak ada masalah kerana saingan MHL juga disiarkan secara langsung di televisyen yang memberi peluang kepada penonton untuk menyaksikannya,” katanya.
MHL 2021 menjadi saingan yang unik kerana buat pertama kalinya berlangsung dalam konsep gelembung atau berpusat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan Covid-19.
Pada saingan musim ini, sebanyak lapan pasukan lelaki berentap terdiri daripada juara bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara, Nurinsafi Hockey Team dan Sabah.
Kategori wanita pula menampikan pasukan PKS UniTen, PDRM Blue Warriors, Mutiara Impian, Sabah, Young Tigress dan UniKL Ladies. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!