Kehadiran penonton ke stadium lebih awal tidak mustahil
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak menolak kemungkinan kebenaran penonton ke stadium bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dapat diberikan lebih awal berikutan usaha dan gerak kerja yang positif sedang dilakukan pelbagai pihak.
Reezal Merican berkata, ketika ini Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hanya perlu memperincikan protokol pengurusan sukan supaya ia tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedia ada.
Sebaik ia diperincikan, KBS merancang membentangkan mengenai kebenaran kehadiran penonton ke stadium kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) seawal minggu depan selain mengharapkan pelaksanaan SOP itu berjalan lancar apabila ia mula dilaksanakan.
“Tarikh tepat (dibentangkan) tak dapat dipastikan kerana mesyuarat MKN ketika ini juga tidak tentu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Pembiayaan Industri Sukan di Putrajaya pada Khamis.
Ketika melancarkan saingan Liga-M 2021 minggu lepas, Reezal Merican memberi jaminan permohonan kehadiran penyokong ke stadium akan dibuat selepas dua bulan saingan Liga-M yang menggunakan model gelembung sukan berjalan dengan lancar.
Namun, timbul desas-desus penonton akan mula dibenar hadir ke stadium seawal sebelum jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada bulan ini.
“Gambaran saya beri ketika pelancaran Liga-M baru-baru ini adalah jika kita dapat lakukan (kehadiran penonton ke stadium) dalam sebulan ia adalah bonus. Tapi kalau tidak, saya berharap janganlah sampai ia melebihi tempoh dua bulan,” jelas beliau.
Sementara itu, beliau berkata, penyokong tidak diwajibkan membuat ujian calitan Covid-19 jika kerajaan mula membenarkan kehadiran penonton ke stadium pada masa hadapan.
"Kalau dalam kawasan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), mereka boleh masuk sahaja. Cuma, yang turun ke padang dan berkemungkinan ada kontak rapat, mereka perlu melakukannya. Ini bagi memastikan keselamatan dapat dijaga dan memastikan penjarakan itu sentiasa ada,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!