Kereta dilarikan ketika 'lepas hajat'
BATU GAJAH - Seorang lelaki tidak menyangka tindakannya berhenti di tepi jalan untuk membuang air besar mengundang padah apabila kereta miliknya dilarikan penjenayah dalam satu kejadian di Jalan Jutaria di sini pada Khamis.
Dalam kejadian sekitar jam 1 petang itu, mangsa berusia 38 tahun yang bekerja sebagai tukang rumah memberhentikan keretanya jenis Proton Iswara Aeroback di bahu jalan untuk ke tepi tasik yang terletak lebih kurang 20 meter.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, selepas 15 minit, mangsa terdengar bunyi enjin kenderaan dihidupkan dan mengesyaki ia adalah kereta miliknya.
"Mangsa segera keluar dari kawasan tasik dan mendapati keretanya telah tiada. Bimbang dengan keadaan itu, dia segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
"Ketika kejadian, mangsa tidak sempat menarik keluar kunci kereta kerana ingin bergegas membuang air besar," katanya.
Menurutnya, kenderaan mangsa bagaimanapun berjaya dikesan selepas kereta dipandu penjenayah berkenaan terlibat dalam kemalangan dengan kereta lain.
Katanya, ketika melarikan kenderaan itu, suspek berusia 34 tahun terbabit cuba memotong sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang wanita dari arah Sri Pangkalan menghala Batu Gajah, namun gagal.
"Suspek hilang kawalan dan melanggar bahagian sisi belakang sebelah kanan kereta Myvi terbabit.
"Akibat kejadian itu, suspek mengalami cedera ringan di bahagian bahu, manakala wanita terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang membuat pengecaman ke atas kereta Iswara berkenaan telah mengesahkan kenderaan itu adalah miliknya dengan kerugian kerosakan dianggarkan sebanyak RM1,500.
"Siasatan kes masih diteruskan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Semakan lanjut mendapati, suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau antaranya mencuri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!