Angka, tulisan pada hati ayam
KUPANG - INDONESIA. Pihak gereja Sonaf Neka, Desa Huilelot, Kecamatan Semau, Pulau Semau, Kabupaten Kupang, Nusa Tenggara Timur (NTT) gempar dengan penemuan hati ayam yang tertera angka dan huruf.
Insiden itu berlaku pada Isnin ketika pihak gereja terbabit sedang bermesyuarat tentang bajet 2019 dan persiapan menjadi tuan rumah acara keagamaan.
"Ayam tersebut dibeli di Desa Hansisi dari seorang penternak. Beberapa beberapa wanita sedang menyiapkan makan tengah hari untuk peserta dan ketika mahu mencuci ayam tersebut salah seorang penduduk ternampak tulisan pada hati ayam itu.
"Hampir semua tulisan itu terbalik. Sebagai contoh angka 2 ditulis terbalik menyerupai S atau 5. Tulisan itu kelihatan sama seperti angka 2020 untuk barisan pertama dan 10D2E01 pada baris kedua," kata paderi Reverend Victor
Menurutnya, pada mulanya mereka menyangka ia adalah cop atau tulisan yang terlekat.
"Ia dicuci berulang kali, namun tulisannya menjadi lebih jelas. Susulan itu, penduduk mengaitkan tulisan itu dengan tahun 2020 dan tarikh 1 Disember 2001 untuk baris kedua. Mereka jadi gusar, tetapi saya yakinkan mereka tiada apa yang perlu dibimbangkan," jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, hati ayam tersebut kini disimpan dalam peti sejuk beku miliknya manakala ayam tersebut telah dimasak dan dihidangkan kepada jemaah gereja. - Kompas.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!