Yahya Sinwar dipilih ketua politik Hamas di Gaza

Gambar fail ketua politik Hamas di Gaza, Yahya Sinwar (kanan) bersama ketua pergerakan itu, Ismail Haniyeh. - Foto AFP
Gambar fail ketua politik Hamas di Gaza, Yahya Sinwar (kanan) bersama ketua pergerakan itu, Ismail Haniyeh. - Foto AFP
A
A
A

BANDAR GAZA - Bekas komander Hamas, Yahya Sinwar dipilih semula sebagai ketua politik pergerakan itu di Gaza pada Rabu lalu sekali gus melanjutkan lagi tempoh pemerintahannya di wilayah Palestin itu.

Sinwar dilaporkan memenangi jawatan itu selepas menewaskan empat lagi pencabarnya iaitu bekas ketua penasihat Syura pergerakan itu, Nizar Awadallah dengan memperoleh 167 undi daripada 280 undi pada pusingan kedua pengundian.

Beliau dilaporkan berkhidmat untuk tempoh 2021 hingga 2025.

Menurut AFP, Ketua Hamas, Ismail Haniyeh yang ketika ini berada di Qatar mengucapkan tahniah kepada Sinwar.

Haniyeh berkata, kelancaran proses pilihan raya itu menunjukkan Hamas serius bagi menghadapi pilihan raya Perundangan Palestin pada 22 Mei dan pilihan raya Presiden pada 31 Julai depan.

"Pergerakan ini komited dengan pilihan raya yang diadakan setiap empat tahun sekali dan menunjukkan kepercayaan mendalam kami terhadap prinsip penggiliran kuasa," katanya dalam satu kenyataan.

Sinwar pernah menjadi komander cawangan ketenteraan Hamas dan pernah menjalani hukuman penjara lebih dua dekad di penjara Israel sebelum dibebaskan pada tahun 2011 melalui pertukaran banduan dengan rejim Zionis.

Menurut AFP, Hamas dianggap sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh kebanyakan negara Barat.

Artikel Berkaitan:

Pergerakan itu juga pernah berperang sebanyak tiga kali dengan Israel sebelum ini sejak tahun 2008.

Kira-kira dua juta penduduk Palestin tinggal di Gaza.

Haniyeh dijangka mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya ketua Hamas tidak lama lagi dan berkemungkinan akan menentang timbalannya, Jamal al-Aruri dan bekas Ketua Hamas, Khaled Meshal. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!