Kaunseling perasaan kehibaan
MAKNA dan cara menangani kematian berbeza menurut pelbagai agama serta anutan. Namun, wujud beberapa reaksi yang sama dalam kalangan penganut berbeza-beza ini. Reaksi itu termasuklah perasaan kehibaan (grief).
Bagi mereka yang meratapi kematian orang disayangi, antara emosi yang tercetus adalah kesedihan, kemurungan dan kehibaan. Mereka menjalani perkabungan, yakni satu proses untuk mengendalikan emosi dan pembelajaran bagi mengatasi kehibaan.
Makna kematian diamati juga bergantung kepada cara dan masa kematian yang boleh berlaku dengan cara mengejut atau setelah melalui proses yang lama. Respon kepada kematian orang yang disayangi dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti personaliti, mekanisme pertahanan (defence mechanism), kesediaan emosi dan kemata-ngan kognisi.
Ketahanan dan kekuatan emosi merupakan satu aset yang boleh mengelakkan kehibaan yang berlarutan. Cara menangani kehibaan menerusi proses perkabungan yang positif sangat penting supaya diri boleh bergerak ke hadapan dan berfungsi secara normal.
Kerapatan atau penjarakan emosi dengan orang yang meninggal juga mempengaruhi reaksi peribadi yang mengalami kehibaan. Semakin rapat semakin terkesan. Syaratnya, orang itu mestilah yang disayangi. Jika orang itu dibenci, lain pula reaksi orang lain terhadap orang yang mati itu. Perkabungan tidak berlaku.
Kaunseling kehibaan dapat membantu individu yang menjalani proses perkabungan dengan cara yang positif dan berkesan.
Walaupun tidak melupai orang dirindui yang telah meninggal, hakikat kehidupan ini dapat diterima dengan baik. Ia dapat mengalami betapa pedihnya kehilangan orang disayangi dengan cara sihat. Semasa melalui perkabungan, inti keperibadiannya tidak hilang.
Umumnya, ramai orang dapat menangani kehibaan secara tabii dan tidak memerlukan bantuan profesional atau tidak perlu menjalani terapi kehibaan. Namun, ada juga yang menyangka ia dapat menangani kehibaan dengan sendirinya tetapi akhirnya gagal.
Tidak semestinya mereka yang memerlukan kaunseling atau terapi kehibaan itu lemah. Tidak semesti pula mereka yang menyangka tidak memerlukan kaunseling atau terapi itu kuat.
Terapi psikospiritual juga adalah satu cara membantu mereka yang mengalami kehibaan berpatologi apabila kehibaan berpanjangan hingga lebih setahun.
Kehibaan mengandungi beberapa tahap seperti berikut:
1. Trauma jiwa atau ṣadmah nafsiyyah dalam bahasa Arab merupakan pengalaman awal. Ketika ini, muncullah beberapa emosi yang mengancam kesejahteraan hayat orang yang mengalaminya seperti kemarahan, penafian dan rasa kehilangan.
2. Tekanan perpisahan mencetuskan beberapa emosi lain seperti kesedihan, kebimbangan, kesakitan, kemaluan, kerinduan, kesunyian, kekesalan dan rasa bersalah.
3. Penjarakan sosial berlaku kerana diri mahu menyendiri dan pencarian spiritual memuncak. Diri mahu memahami makna kehilangan dan kehibaan.
4. Kepasrahan kepada takdir dan pengukuhan harapan untuk masa hadapan.
Sebagai makhluk Tuhan, adalah mustahil untuk kita memahami semua peristiwa dalam kehidupan. Misalnya, sedang kita berhiba, orang lain sedang bersuka. Sedang kita bergembira, orang lain sedang berduka.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Presiden Persatuan Terapi Psikospiritual Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!