Persaingan parti politik masih terbuka luas
SHAH ALAM- Dapatan hasil kaji selidik yang dilakukan Sinar Harian dan Sin Chew Daily sempena setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi petunjuk bahawa persaingan antara parti politik untuk memenangi hati rakyat masih terbuka.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, ia terbukti apabila sebahagian besar responden masih belum membuat keputusan untuk menyokong mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, walaupun kaji selidik yang dijalankan secara dalam talian yang melibatkan 24,370 responden itu tidak menggambarkan ketepatan sebenar kerana mempunyai kelemahan tersendiri, tetapi ia memberi satu isyarat umum.
“Situasi ini memberi kelebihan kepada negara kerana ia akan mendorong setiap parti politik dan juga ahli politik untuk memastikan prinsip perjuangan serta agenda politik mereka perlu mengutamakan rakyat bukan hanya berpolitik secara semberono.
“Jadi di sini rakyat mempunyai pilihan untuk menyokong parti politik mana atau tokoh politik mana berdasarkan apa yang diperjuangkan parti politik itu atau apa yang mereka usahakan untuk kebajikan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Sinar Harian bahawa sebanyak 14.27 peratus responden tidak pasti atau belum membuat keputusan untuk menyokong parti mana dalam PRU15 nanti.
Kaji selidik itu juga mendapati sebanyak 14.41 peratus menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) diikuti DAP 12.06 peratus, UMNO 10.46 peratus, Pas dan Amanah 7.58 peratus dan Bersatu 5.08 peratus.
Mengulas lanjut, Kamaruzaman menyifatkan dapatan itu sebagai satu situasi yang baik kerana ia akan memberikan persaingan sihat kepada semua parti politik.
“Saya anggap hasil kaji selidik ini sebagai satu isyarat kepada semua parti politik untuk memastikan kita memberikan khidmat yang terbaik.
“Kalau mentadbir negara, kita kena mentadbir dengan cara yang terbaik kerana hari ini rakyat mempunyai pandangan politik yang begitu terbuka terutama sekali anak-anak muda. Mereka tidak suka mengikat diri mereka dengan mana-mana parti politik.
“Mereka hanya akan memilih berdasarkan kepada pandangan dan pertimbangan bahawa parti politik tersebut boleh memberikan yang terbaik kepada mereka,” katanya.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan turut senada dengan Kamaruzaman apabila bersetuju bahawa persaingan politik ketika ini masih terbuka.
“Kaji selidik itu memberi ingatan kepada kita bahawa masih ramai rakyat yang belum buat keputusan.
“Parti-parti politik mesti bersaing untuk meyakinkan golongan 15 peratus ini kerana mereka penentu kepada banyak kerusi pada PRU15 kelak. Maka persaingan dan pertandingan masih terbuka,” katanya.
Beliau menegaskan, keputusan kaji selidik itu juga perlu diteliti secara mendalam oleh UMNO kerana ia menunjukkan bahawa Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai sokongan dalam kalangan rakyat.
“Dapatan kajian menunjukkan mereka dapat hampir 35 peratus sokongan. Ini bukan angka kecil. Jadi kami mesti hindari daripada perasaan ‘syok sendiri’ dalam kamar gema menganggap semua adalah baik, walhal masih banyak perlu dibuat untuk memenangi hati rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, keputusan kajian itu memberi suntikan semangat kepada PKR dan rakan-rakan dalam PH untuk mendapat semula mandat rakyat.
“Ini bukan titik noktah tetapi menjadi seruan kepada pimpinan dan anggota PKR untuk melipatgandakan usaha bagi memastikan kita sentiasa mendampingi rakyat dan menjadi suara kepada isi hati rakyat.
“Bagaimanapun, hasil kaji selidik ini masih belum memadai kerana jumlah yang belum membuat keputusan masih lagi tinggi. Maksudnya kita perlukan usaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati rakyat dan menjadi suara kepada rakyat dan membina formula terbaik untuk menghadapi PRU15,” katanya.
Menyentuh mengenai golongan yang masih belum membuat pilihan, beliau berkata, ia merupakan perkara biasa kerana akan ada kelompok rakyat yang hanya akan memilih parti yang mahu disokong apabila tiba hari penamaan calon atau hari mengundi nanti.
“Mungkin mereka ada pilihan tertentu tapi selagi belum keluar mengundi, selagi itulah pilihan itu boleh berubah.
“Bagi saya kumpulan atas pagar inilah yang perlu usaha yang paling kuat dan akan menjadi sasaran semua parti untuk membantu memenangkan parti masing-masing pada PRU15 nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!