Tun M hadiri konsert Akiko Suwanai
KUALA LUMPUR - Persembahan 'The Romantic Violin' oleh pemain biola tersohor dari Jepun, Akiko Suwanai bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) berjaya memukau kira-kira 800 penonton di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), malam ini.
Ini merupakan persembahan kedua Suwanai bersama MPO sejak 2008. Suwanai adalah pemenang termuda di Pertandingan Antarabangsa Tchaikovsky pada 1990. Beliau juga telah bekerjasama dengan ramai konduktor dan orkestra simfoni tersohor di serata dunia.
Konsert anjuran MPO dengan kerjasama Kedutaan Jepun di Malaysia itu, turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang juga penaung MPO.
Konsert istimewa itu bertujuan mengeratkan hubungan kedua-dua negara dari segi muzik.
Menariknya, konsert satu malam ini dihiasi dengan empat muzik klasikal simfoni karya agung ciptaan Mozart, Haydn, Brahms dan Sarasate yang dipimpin Alexander Briger dari Australia.
Terdahulu, Dr Mahathir yang mengenakan kemeja putih dan berkot coklat cair tiba pada kira-kira 8.40 malam dengan diiringi isteri, Dr Hasmah, disambut Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Ketua Pegawai Eksekutif MPO & DFP, Sareen Risham. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!