Suami isteri perlu dana RM20,000 tampung kos bedah
KLUANG - Sepasang suami isteri di Taman Renggam Jaya dekat sini memerlukan bantuan sebanyak RM20,000 bagi menampung dua kos pembedahan yang perlu dijalani mereka.
Shahril Painoh, 44, berkata, semuanya bermula selepas dia terlibat dalam kemalangan pada tahun 2016 yang mengakibatkan tulang lengan kirinya hancur dan terpaksa dibuang.
Menurutnya, isterinya, Normaliz Arbain, 42, pula disahkan memiliki dua injap jantung berlubang sejak lebih setahun lalu dan kini sentiasa berada dalam lemah serta tidak boleh terlalu penat.
Shahril berkata, mereka kini hanya bergantung hidup pada anak sulungnya yang bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Katanya, sebelum ini pernah mendapat elaun ilat sementara daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan wang itu sudah habis digunakan bagi menampung hidup termasuk membayar hutang.
"Saya terlibat kemalangan di Yong Peng pada 2016 selepas lori yang dipandu dirempuh sebuah lori lain dan akibatnya, kaki kiri saya patah dan dimasukkan besi, manakala tangan kiri saya longlai sehingga kini.
"Saya sudah menjalani dua kali pembedahan termasuk memasukkan besi di tangan kiri, namun tidak berjaya. Pada 2 Mac lalu di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat, saya sepatutnya dimasukkan ke wad untuk pembedahan kali ketiga dan kosnya RM8,000.
"Isteri saya pula memerlukan RM12,000 untuk kos pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, namun sehingga kini kami buntu kerana kami memang tidak ada duit sebanyak itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya pada Khamis.
Shahril berkata, isterinya kini bergantung kepada ubat-ubatan dan tidak boleh melakukan kerja kerja di rumah selain banyak berehat.
"Doktor berkata kemungkinan sebelum atau selepas Aidilfitri nanti ada kekosongan untuk pembedahan isteri," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Ekonomi Golongan B40 Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi berkata, pihaknya akan berhubung dengan jabatan kerajaan berkaitan bagi merujuk kes itu dan memohon sumbangan orang ramai bagi meringankan beban pasangan terbabit.
"Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Shahril di talian 01110816339 atau salurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Shahril Painoh 0114741100017561 atau hubungi wakil masyarakat setempat iaitu Haji Karim menerusi talian 0127377801," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!