Pahang rekod empat kes derma organ, tisu

Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah
Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak empat kes pendermaan organ dan tisu direkodkan di negeri ini bagi tempoh Ogos 2020 hingga Januari 2021.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah berkata, daripada jumlah itu, tiga kes melibatkan pendermaan organ dan tisu manakala satu kes lagi melibatkan pendermaan tisu sahaja.

Menurutnya, kes pertama ada Ogos 2020 melibatkan pendermaan tisu kornea manakala pendermaan kedua pada Oktober 2020 melibat pesakit yang meninggal akibat kematian otak di mana keluarga bersetuju mendermakan hati, kedua-dua buah pinggang, injap jantung dan juga kornea.

"Bagi pendermaan ketiga pula pada Disember 2020 melibatkan pesakit yang meninggal akibat pendarahan dalam otak.

"Warisnya telah membenarkan organ seperti buah pinggang, jantung dan paru-paru didermakan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Bahari berkata, kes keempat berlaku pada Januari 2021 melibatkan pesakit yang meninggal dunia akibat mati otak di mana pihak keluarga penderma ber]setuju mendermakan kedua-dua buah pingang dan hati untuk pesakit yang amat memerlukan.

Menurutnya, perolehan organ dan tisu itu diperoleh melalui Unit Perolehan Organ dan Tisu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mengucapkan terima kasih kepada semua waris penderma yang telah membuat keputusan besar dengan bersetuju untuk mendermakan organ dan tisu ahli keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mereka pendermaan itu merupakan jariah terakhir si mati kepada insan lain dengan harapan limpah pahala yang berpanjangan," katanya.

Tambah beliau, keputusan dibuat waris penderma memberi sinar baharu kepada pesakit yang memerlukan transplantasi organ dan tisu demi kelangsungan hidup mereka.

"Semoga masyarakat di Pahang menerima dengan terbuka tentang isu pendermaan organ dan tisu agar lebih ramai tampil menderma apabila tiba masanya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!