Thiago yakin mimpi buruk Liverpool sudah berakhir

THIAGO
THIAGO
A
A
A

LIVERPOOL optimis mampu kembali berada di landasan kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Wolves di Stadium Molineux pada Selasa depan.

Keyakinan itu disuarakan tonggak tengah Liverpool, Thiago Alcantara selepas pasukan itu cemerlang melangkah ke aksi suku akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan RB Leipzig dengan agregat 4-0.

Menurutnya, kemenangan itu memberikan motivasi dan semangat kepada pasukan dalam usaha mengembalikan status gergasi bola sepak Eropah kepada The Reds.

"Ia (kemenangan itu) sebagai satu suntikan semangat dan moral kepada kami. Saya rasa kami berhak untuk meraikan kemenangan dan gembira dengan apa yang telah kami capai dalam saingan Liga Juara-Juara.

"Saya yakin kemenangan ini akan memastikan kami dapat memenangi semua perlawanan yang masih berbaki. Sudah tentu ia detik yang sukar semasa kami menghadapi kekalahan demi kekalahan. Ia seumpama mimpi buruk dan kami tidak menyangka berada di kedudukan sekarang dalam saingan EPL," katanya.

Kemaraan penuh bergaya Liverpool dipentas Eropah menampilkan sisi berbeza buat penyandang EPL itu yang hanya mampu menang sekali daripada tujuh perlawanan di liga domestik.

Lebih memalukan, Liverpool terpaksa menelan enam kekalahan berturut-turut ketika beraksi di laman sendiri sekali gus menyebabkan mereka terhumban ke kedudukan kelapan liga dengan 43 mata.

Dalam masa sama, Thiago menegaskan Liverpool tidak akan terbuai dengan kemenangan ke atas Leipzig itu dan bersedia untuk perlawanan menentang Wolves pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu seperti pasukan lain kami sedang berusaha untuk menjadi lebih baik dalam sesi latihan. Saya rasa persembahan kami sudah semakin meningkat dan positif berbanding sebelum ini.

"Sudah tentu kami akan merayakan kejayaan mara ke suku akhir ini, tetapi dalam keadaan yang sederhana kerana kami perlu bersedia untuk perlawanan menentang Wolves nanti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!