Netanyahu tangguh lawatan ke UAE
BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membatalkan lawatan bersejarahnya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dijadual pada Khamis, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri.
Lawatan itu dibatalkan ekoran Jordan enggan memberi kebenaran terbang di ruang udaranya, lapor Agensi Berita Xinhua.
"Netanyahu dijadual melawat UAE hari ini, tetapi disebabkan masalah penyelasaran penerbangan di ruang udara Jordan, lawatan itu ditunda," kata kenyataan itu.
Tindakan Jordan itu mungkin disebabkan Israel membatalkan lawatan Putera Mahkota Jordan Hussein bin Abdullah yang merancang melawat Masjid Al-Aqsa pada Rabu.
Kemudian pada Khamis, Jordan mengumumkan membenarkan perdana menteri Israel itu menggunakan ruang udaranya, tetapi Netanyahu dan Putera Mahkota UAE, Mohammed bin Zayed memutuskan untuk menjadualkan semula lawatan itu, menurut Israel.
Ini kali keempat Netanyahu menangguhkan lawatan rasmi pertamanya ke UAE.
Israel dan UAE menandatangani perjanjian memulihkan hubungan diplomatik pada 15 September 2020 di Rumah Putih. UAE dan Bahrain negara Teluk pertama bersetuju menjalin hubungan rasmi dengan Israel. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!