Isu kalimah ALLAH: Turun ke jalan, PDRM ambil tindakan tegas

 Tan Sri Abdul Hamid Bador
Tan Sri Abdul Hamid Bador
A
A
A

IPOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang berhasrat mengadakan demonstrasi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan undang-undang termasuk di bawah Akta Hasutan 1948 akan dikenakan terhadap mereka yang mengugut untuk turun ke jalan raya sekiranya kerajaan gagal bertindak dalam isu tersebut.

Menurutnya, orang ramai perlu menghormati keputusan mahkamah tersebut selain dinasihatkan untuk mengikut saluran yang betul.

“Sekiranya kita tidak menghormati keputusan mahkamah maka hancur negara ini. Mahkamah diberikan kebebasan untuk membuat keputusan yang difikirkan tepat mengikut Perlembagaan.

“Sekiranya tidak berpuas hati masih ada proses rayuan. Proses itu tidak terhenti di situ kemudian masih ada lagi tidak puas hati, bincang dalam Parlimen. Buatlah undang-undang apa pun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus ‘Private Pilot’s Licence (PPL)’ no 18 Siri 01/2019 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara PDRM, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar dan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Abdul Hamid berkata, pihak yang ingin mencetuskan atau membangkitkan perasaan bertindak secara fizikal dinasihatkan supaya tidak bertindak sedemikian.

Artikel Berkaitan:

“Kita sedang berjuang berhadapan dengan Covid-19, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pun saya kerah untuk jaga sekatan jalan raya. Saya tidak mahu FRU dikerah untuk mengawal demonstrasi pula sedangkan saya perlukan kekuatan mereka untuk tugasan-tugasan mengawal Covid-19.

“Jika masih ada berkeras, saya akan ambil tindakan. Saya sendiri akan buat laporan polis dan kita akan ambil tindakan di bawah Akta Hasutan dan sebagainya. Saya berharap mereka berfikir dengan waras,” katanya.

Media pada Khamis melaporkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Razlan Rafii berkata, umat Islam sedia turun ke jalan raya sekiranya kerajaan gagal bertindak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Katanya, sehingga kini kerajaan pimpinan Perikatan Nasional yang diterajui Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilihat masih gagal mengambil tindakan drastik dengan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah itu

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi benarkan penganut Kristian guna kalimah ALLAH

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!