'Penghargaan ini sangat bermakna...'

Mat Shah menerima sijil penghargaan Menteri Dalam Negeri.
Mat Shah menerima sijil penghargaan Menteri Dalam Negeri.
A
A
A

REMBAU - Seorang anggota polis menerima sijil penghargaan daripada Menteri Dalam Negeri susulan keberaniannya meredah api ketika membantu mangsa kebakaran dalam kejadian di Kampung Seberang Batu Hampar, di sini pada Khamis minggu lalu.

Sarjan Mat Shah Kasim, 57 menerima sijil penghargaan tersebut pada Jumaat yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zulkifli Noordin di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau, di sini.

Mat Shah (kiri) menerima sijil penghargaan Menteri Dalam Negeri yang disampaikan oleh Zulkifli (tiga kiri) sambil diperhatikan Che Zakaria (dua kiri).
Mat Shah (kiri) menerima sijil penghargaan Menteri Dalam Negeri yang disampaikan oleh Zulkifli (tiga kiri) sambil diperhatikan Che Zakaria (dua kiri).

"Penghargaan ini sangat bermakna yang tidak akan saya lupakan sepanjang berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 39 tahun. Ia begitu menyentuh hati saya,' katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan Menteri Dalam Negeri (MDN) itu kepadanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Datuk Che Zakaria Othman.

Menceritakan kembali tragedi berkenaan, Mat Shah berkata, dalam kebakaran kira-kira jam 6.40 petang itu, dia melihat seorang warga emas, Maimunah Mohd Shah, 81, cuba masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar untuk menyelamatkan anaknya, Zaidi Zainuddin, 46, yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

"Saya halang dia masuk ke dalam rumah tersebut dan nekad membantunya dengan memasuki rumah mangsa untuk menyelamatkan anaknya. Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Berkat, Chembong, Batu 17 selepas habis bertugas," katanya.

Dalam pada itu Zakaria berkata, beliau dan seluruh warga polis Negeri Sembilan berbangga dengan tindakan dilakukan Mat Shah yang sanggup menggadai nyawa bagi membantu insan tidak berdaya dalam insiden berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!