Ordinan berita palsu mudahkan polis bertindak: KPN

Abdul Hamid (kiri) beramah mesra bersama peserta kursus pada majlis pemakaian sayap juruterbang dan penutupan rasmi kursus ‘ Private Pilot License ‘ No 18 Siri 1/2019 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara, di Ipoh pada Jumaat. - Foto Bernama
Abdul Hamid (kiri) beramah mesra bersama peserta kursus pada majlis pemakaian sayap juruterbang dan penutupan rasmi kursus ‘ Private Pilot License ‘ No 18 Siri 1/2019 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara, di Ipoh pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Pewartaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 yang telah berkuat kuasa akan memudahkan polis mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang mencipta, menerbit atau menyebarkan berita tidak benar berhubung Covid-19 atau proklamasi darurat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis tidak perlu lagi mendapatkan Perintah Untuk Menyiasat (OTI) bagi kesalahan berkaitan berita palsu.

Menurutnya, penyebaran berita palsu hingga mencetuskan ketidaksenangan hati satu pihak, kegemparan umum atau menimbulkan kegusaran akan diambil tindakan.

“Ordinan inilah yang memberi kepada pihak polis kuasa tersebut. Selama ini orang ramai seolah-olah marah kepada pihak polis kononnya tidak mengambil tindakan, lambat mengambil tindakan terhadap berita palsu yang ditularkan.

“Bukan kami lambat, kami ambil tindakan tetapi oleh kerana kekangan undang-undang ketika itu untuk mendapatkan OTI bukan dalam masa lima minit tetapi makan masa hingga seminggu.

“Jadi sekiranya dibiarkan berlarutan selama satu minggu ia telah cetuskan, membakar semangat orang yang akhirnya boleh mencetuskan perbalahan fizikal akibat penyebaran berita palsu jika tidak ditangani dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus ‘Private Pilot’s Licence (PPL)’ no 18 Siri 01/2019 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara PDRM, di sini pada Jumaat.

Abdul Hamid berkata, golongan yang sering mempromosikan idea-idea ekstrem dan pemikiran sempit melibatkan politik, agama dan kaum perlu berasa gusar dengan perwartaan ordinan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Orang ini patut rasa cuak dengan adanya ordinan ini dan polis sentiasa memainkan peranan memantau 24 jam apa yang dihidangkan dalam media sosial mengesan perkara yang kita kategorikan sebagai berita palsu.

“Kita nilaikan sesuatu berita sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, kita sendiri akan buat laporan untuk diambil tindakan. Kita tidak tunggu orang awam untuk buat laporan polis,” katanya.

Kerajaan memperkenalkan undang-undang baharu yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000, penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu yang didapati bersalah menghasil, menyiar atau menyebarkan berita palsu bermula Jumaat.

Bagi kesalahan berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Menurut tafsiran ordinan tersebut, ‘berita tidak benar’ termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!