'Macam tsunami'
KEMAMAN – Macam tsunami. Itu gambaran diberikan penduduk Taman Bukit Mentok, Kampung Pengkalan Pandan, Chukai, di sini apabila tangki air taman perumahan tersebut runtuh awal pagi Jumaat.
Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu mengejutkan penghuni 138 rumah di taman berkenaan dan ia turut menyebabkan air dari tangki besar yang runtuh melimpah masuk ke lima rumah yang terletak berhampiran.
Seorang penduduk, Jimmy Tan Chun Hiang, 53, berkata, dia tidak menyangka tangki berusia lebih 40 tahun yang berfungsi menyalurkan bekalan air kepada penduduk akan menyembah bumi.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana insiden berkenaan tidak melibatkan nyawa.
“Kami semua keluar rumah untuk lihat apa yang terjadi bila terdengar bunyi kuat, memang terkejut tengok tangki air berada di tanah.
“Mujur ia berlaku ketika awal pagi kerana pada waktu siang, ramai kanak-kanak dan remaja bermain di kawasan itu. Bimbang sebab tangki air terletak berhampiran padang dan taman permainan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Jimmy yang sudah 20 tahun tinggal di taman itu turut berharap pihak keselamatan dapat memasang garisan halangan memasuki kawasan runtuhan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.
“Kita bimbang ada orang bermain di sana dan akan cedera kerana sisa runtuhan seperti besi, paku dan benda tajam belum dibersihkan dengan sempurna lagi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, tangki air tersebut berkemungkinan runtuh disebabkan besinya berkarat berikutan kawasan itu beberapa kali dilanda banjir sejak tahun 2013.
Sehubungan itu, beliau yang sempat turun padang meninjau keadaan runtuhan berharap pihak berkenaan dapat menyegerakan pembinaan tangki air baharu sebagai kemudahan kepada penduduk di sana.
“Bekalan air sudah kembali pulih pada jam 11.30 pagi tadi menggunakan air secara terus. Saya difahamkan permohonan tangki air baharu taman ini sudah dibuat sebelum ini, bila jadi begini kita harap ia dapat diluluskan dengan segera,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!