DBKL perbaharui kontrak parkir Pasar Besar TTDI
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperbaharui kontrak pengurusan tempat letak kereta kepada Pengurusan Persatuan Kebajikan Penjaja dan Peniaga Kecil Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI).
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, beliau meluahkan kelegaan selepas permohonan persatuan berhubung perkara itu mendapat perhatian pihak DBKL.
Menurutnya, beliau sejak 2019 telah beberapa kali menulis surat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur sekarang, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan sebelumnya, Datuk Seri Nor Hisham Ahmad Dahlan untuk mempertimbangkan permohonan pembaharuan kontrak tersebut.
"Kontrak yang sepatutnya tamat bulan ini akan diperbaharui semula bermula 1 April 2021 sehingga 31 Mac 2022.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pihak DBKL kerana mendengar rayuan serta suara hati persatuan dan penduduk TTDI yang mahukan pengurusan tempat letak kereta ini dikendalikan oleh persatuan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau sebelum ini memaklumkan menulis surat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung lanjutan kontrak pengurusan pada 14 Februari dan 3 Julai tahun lepas serta surat susulan pada 17 Februari lalu.
Hannah berkata, persatuan membuktikan berjaya melakukan perubahan besar ketika di bawah pengurusan dengan perlaksanaan sistem pembayaran tanpa tunai menggunakan Touch ‘n Go bermula pada 15 Januari lalu.
"Pengurusan juga berjaya menjadikan Pasar Besar TTDI lebih bersih, mesra alam dan memudahkan pengunjung pasar terutama golongan wanita serta warga emas mendapatkan tempat letak kereta.
"Pasar Besar TTDI adalah model pasar moden yang boleh dijadikan contoh untuk pasar besar lain di Kuala Lumpur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!