Nelayan dakwa projek jeti pelabuhan jejas mata pencarian
MELAKA - Lebih 300 nelayan termasuk nelayan berdaftar di perairan Tanjung Kling, di sini gusar apabila mata pencarian mereka terjejas akibat projek penambakan laut dan pembinaan jeti pelabuhan berhampiran Jeti Nelayan Kampung Hailam sejak awal bulan ini.
Mereka mendakwa, projek pembinaan jeti pelabuhan sepanjang 600 meter bermula Tanjung Bruas itu telah menyukarkan nelayan turun ke laut hinggakan ada di antara nelayan terpaksa menangkap ikan sehingga hampir ke Pulau Besar.
Ketua Komuniti Nelayan Tanjung Kling, Aziz Japar berkata, cadangan projek tersebut pernah dimaklumkan pihak berkenaan sejak tahun 2017 namun dalam tempoh itu tiada sebarang sesi dialog atau perbincangan yang diadakan dengan golongan nelayan sebelum projek itu dimulakan baru-baru ini.
Menurutnya, mereka bukan menghalang sebarang pembangunan namun sekiranya pembangunan itu memberikan kesan negatif kepada pendapatan nelayan, sudah pasti mereka tidak akan menyokong.
"Memang kami kecewa, sepatutnya mereka bincang dan mendengar luahan atau cadangan nelayan agar projek pembangunan itu tidak mengganggu kawasan nelayan menangkap ikan.
"Malangnya suara kami tidak didengari dan seperti diabaikan sedangkan kebanyakan nelayan di sini merupakan nelayan sepenuh masa serta tiada pendapatan lain," katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Hailam di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, dia juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan berharap kerajaan negeri campur tangan agar nasib nelayan dan kebajikannya terjaga.
Bagi Razali Arbak, projek itu bukan sahaja menyukarkan untuk dia menangkap ikan malah mendakwa kehadiran terlalu banyak kapal berhampiran jeti nelayan menyebabkan pukat milik nelayan rosak ketika menangkap ikan.
"Sudahlah kawasan semakin kecil, ditambah pula kapal-kapal besar sepanjang laut jadi macam mana kami nak mencari ikan sedangkan kami perlu menyara keluarga," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Kling, Khairulazni Baharuddin mengesahkan menerima aduan itu dan meminta kerajaan negeri segera menangani masalah tersebut supaya pihak berkenaan lebih prihatin dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!