Ordinan berita tidak benar hanya berkuatkuasa sementara
PUTRAJAYA - Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang diwartakan untuk memerangi aktiviti penghasilan dan penyebaran berita tidak benar hanya berkuatkuasa sementara dan bukan bersifat kekal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ordinan berkenaan hanya berkuatkuasa sehingga enam bulan selepas tamat tempoh darurat pada Ogos depan.
"Ia bukanlah bersifat kekal, jika Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Dewan Rakyat, maka ia usul boleh dikemukakan untuk membatalkannya," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah di Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada Jumaat.
Menurutnya, ordinan berkenaan akan mempercepatkan proses penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan.
"Prosiding di mahkamah kekal seperti sedia ada di mana prosedur di bawah Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] di mahkamah dikekalkan," katanya.
Beliau berkata, ordinan tersebut tidak boleh dicabar di mahkamah kerana badan kehakiman tidak mempunyai bidang kuasa.
"Ia sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini terhadap dua ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memohon kebenaran untuk semakan terhadap proklamasi darurat," katanya.
Menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan pada Khamis, Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 berkuat kuasa pada Jumaat.
Mengikut ordinan itu, berita tidak benar termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.
ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan warta ordinan berita tak benar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!