Bekas banduan menyamar polis diberkas

Suspek berusia 34 tahun berjaya dicekup polis selepas menyamar sebagai anggota polis dan melakukan samun pada petang Khamis.
Suspek berusia 34 tahun berjaya dicekup polis selepas menyamar sebagai anggota polis dan melakukan samun pada petang Khamis.
A
A
A

MELAKA - Seorang bekas banduan diberkas kerana menyamar sebagai pegawai polis ketika menyamun remaja berusia 18 tahun pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Padang Jambu lebih kurang jam 1.30 pagi selepas polis menerima laporan daripada seorang mangsa berusia 18 tahun dengan mendakwa disamun suspek di pejabatnya di Taman Seri Duyong pada jam 2.15 petang Khamis.

"Suspek yang menyamar sebagai pegawai polis meminta kad pengenalan mangsa yang bekerja sebagai perunding perkahwinan, namun tidak dihiraukan memandangkan lelaki itu gagal menunjukkan kad kuasa polis.

"Bagaimanapun suspek mengambil kunci pejabat dan meminta kunci motosikal remaja lelaki berkenaan dengan alasan mangsa gagal membayar ansuran bulanan serta mendakwa mangsa melakukan kesalahan membabitkan dadah sebelum tiba-tiba mengambil sebuah komputer riba serta melarikan diri," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Tambahnya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan satu kes judi dan lima kesalahan dadah.

Suspek direman tujuh hari bermula hari ini (Jumaat) dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!