TNB beri sumbangan keluarga B40 menerusi Program Ceria ke Sekolah
SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi sumbangan kepada 8,650 pelajar daripada keluarga B40 di Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah menerusi Program Ceria ke Sekolah (CKS).
Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sumbangan tersebut diserahkan secara berperingkat pada 28 Februari lalu bagi negeri Kelantan, Pulau Pinang (3 Mac) dan Kedah (7 Mac) sementara negeri lain akan menyusul.
Menurutnya, sumbangan tersebut diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli Parlimen dan pemimpin-pemimpin masyarakat dengan kos keseluruhan bernilai RM865,000 atau RM100 bagi setiap pelajar.
Tambah beliau, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan RM3 juta yang telah diluluskan untuk sumbangan CKS tahun ini.
“Bantuan ini diharap dapat mengurangkan tekanan keluarga yang kurang berkemampuan untuk melakukan persediaan anak-anak mereka ke sekolah terutama berikutan kesan pandemik Covid-19.
“Sekurang-kurangnya, pelajar-pelajar yang dibantu dapat ke sekolah dengan kelengkapan serba baru untuk sesi persekolahan yang baru bermula bulan ini tanpa membebankan ibu bapa mereka dan mereka akan lebih gembira untuk ke sekolah.
“Kita juga bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengenal pasti ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai agar bantuan dapat diberikan dan kalau keluarga tersebut ada enam orang anak yang bersekolah, sekurang-kurangnya kita boleh bantu seorang atau dua orang daripada mereka,” katanya pada Jumaat.
Sehubungan itu, sejak pelaksanaan program tersebut pada 2013, CKS telah membantu seramai 36,018 keluarga dengan jumlah sumbangan RM7.5 juta di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!