Kalimah ALLAH: Pemuda UMNO kemuka tiga cadangan awal
SHAH ALAM - Pemuda UMNO mengemukakan tiga cadangan awal yang perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan bagi menangani isu penggunaan kalimah ALLAH.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara cadangan berkenaan termasuk membuat permohonan kepada Mahkamah Rayuan agar keputusan Mahkamah Tinggi tersebut ditangguhkan terlebih dahulu sehingga mahkamah lebih tinggi membuat keputusan muktamad.
“Kerajaan juga perlu mengadakan sidang meja bulat sama ada secara maya atau tidak dengan pemegang taruh seperti wakil kerajaan negeri, wakil persatuan peguam syariah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi merangka strategi seterusnya.
“Perlu diingat, majoriti negeri seperti Terengganu, Johor, Pahang dan Kelantan serta Kedah sudah mempunyai enakmen sendiri bagi sekatan pengembangan agama bukan Islam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.
Asyraf Wajdi turut mencadangkan agar kerajaan menghidupkan semula Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) yang telah ditutup pada zaman Pakatan Harapan (PH).
Katanya, IKSIM telah terbukti berkesan dalam isu-isu ancaman pada kedaulatan Islam termasuk membina jati diri agama melalui program dan langkah strategik yang diambil.
“Namun, disebabkan ketiadaan IKSIM, ia menghilangkan elemen semak dan imbang ke atas gerakan yang mengancam akidah umat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap seluruh umat Islam tanpa mengira ideologi politik harus sepakat dan senada dalam isu tersebut.
Pada Rabu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan keagamaan mereka.
Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan pengisytiharan yang dibuat seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau melarang pengimportan bahan pendidikan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi benarkan penganut Kristian guna kalimah ALLAH
Isu kalimah ALLAH: Turun ke jalan, PDRM ambil tindakan tegas
Hamzah seru semua pihak tidak buat spekulasi isu kalimah ALLAH
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!