Kontena, makmal jadi kelas di SMK Meru

Mohd Fakhrulrazi (kiri) dan Kamis (tengah) berbincang dengan Pengetua SMK Meru, Saadah Kasiran.
Mohd Fakhrulrazi (kiri) dan Kamis (tengah) berbincang dengan Pengetua SMK Meru, Saadah Kasiran.
A
A
A

KLANG - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru menjadi tular di media sosial susulan bilangan pelajarnya yang ramai, hingga dikategorikan sebagai sekolah paling padat di negara ini.

Sekolah itu menempatkan 3,904 pelajar dari tingkatan satu hingga lima, termasuk kelas peralihan dan program pendidikan khas.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Meru, Kamis Pairan berkata, disebabkan pelajar terlalu ramai, persekolahan terpaksa diadakan dua sesi dengan 263 tenaga pengajar.

“Untuk tingkatan 1 hingga 3, pihak sekolah terpaksa membuka 24 kelas manakala 22 kelas bagi tingkatan 4 dan 5. Ini tak termasuk kelas untuk program pendidikan khas dan kelas peralihan.

“Bayangkan satu kelas ada 49 pelajar dan ini sedikit sebanyak mengganggu tumpuan pelajar untuk fokus di dalam kelas kerana tidak begitu selesa,” katanya ketika membuat lawatan ke SMK Meru bersama Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, semalam.

Mohd Fakhrulrazi bersama Kamis meninjau pelajar ketika sesi pembelajaran
Mohd Fakhrulrazi bersama Kamis meninjau pelajar ketika sesi pembelajaran

Beliau berkata, disebabkan kekurangan kelas, pihak sekolah juga terpaksa menjadikan makmal sebagai kelas.

“Mahu tidak mahu memang terpaksa gunakan makmal sebab kawasan sekolah ini sudah penuh, memang tidak ada ruang kosong untuk ditambah bangunan lain.

Artikel Berkaitan:

“Sebuah kontena diubah suai turut digunakan bagi menampung kekurangan kelas. Kita sudah ubah suai kontena ini menjadi sebuah kelas dan semua peralatan mengajar serta kemudahan di kelas ini sama seperti kelas biasa yang lain.

 Kontena yang diubah suai menjadi kelas bagi menampung kepadatan pelajar.
Kontena yang diubah suai menjadi kelas bagi menampung kepadatan pelajar.

“Biasanya kelas ini digunakan bagi mata pelajaran Bahasa Tamil dan Pendidikan Moral,” katanya.

Kamis berkata, kecemerlangan dalam bidang sukan dan kokurikulum menjadi faktor sekolah ini menjadi pilihan ibu bapa.

“SMK Meru memang terkenal dengan sukan bola sepak dan ini salah satu faktor ibu bapa dan pelajar masih memilih sekolah ini walaupun tahu padat.

“Ada juga ibu bapa dari luar Selangor sanggup menempatkan anak-anak mereka di sekolah ini kerana tahu kecemerlangan sukan dan kokurikulum yang dicapai SMK Meru,” katanya.

Menurutnya, kedudukannya yang strategik membuatkan ibu bapa masih menempatkan anak-anak mereka di SMK Meru.

Mohd Fakhrulrazi dan Kamis dalam kontena yang dijadikan kelas.
Mohd Fakhrulrazi dan Kamis dalam kontena yang dijadikan kelas.

“Walaupun SMK Bukit Kapar sudah dibuka, tapi masih ramai ibu bapa daftarkan anak-anak mereka di sini sebab sekolah baharu ini agak jauh.

“Kalau boleh kementerian perlu bina sebuah lagi sekolah di Meru supaya ibu bapa ada pilihan lain, sekali gus mengurangkan kepadatan pelajar di sini,” katanya.

Pengendali kantin, Sutinah Sahari, 57, berkata, dia terpaksa menggajikan 16 pekerja bagi memastikan kelancaran ketika waktu rehat di SMK Meru.

“Memang sesak dan agak kelam kabut bila waktu rehat terutamanya ketika sesi petang.

“Masing-masing berebut-rebut nak beli makanan dan minuman. Mula-mula berniaga dulu memang terkejut juga dengan situasi seperti ini, sebab pelajar-pelajar terlalu ramai,” katanya.

Menurutnya, dia membuka enam gerai makanan dan dua gerai minuman bagi mengurangkan kesesakan.

“Jadi pelajar-pelajar dapat pilih apa makanan yang mereka nak beli tanpa perlu bersesak-sesak,” katanya yang mula mengendalikan kantin sekolah itu sejak sembilan tahun lalu.

Kerusi dan meja di kantin tidak mencukupi untuk menampung bilangan pelajar.
Kerusi dan meja di kantin tidak mencukupi untuk menampung bilangan pelajar.

Sutinah berkata, kemudahan kerusi dan meja di kantin juga tidak mencukupi.

“Kadang-kadang mereka terpaksa makan di bawah pondok atau di tempat lain sebab kerusi dan meja memang tak cukup.

“Cikgu juga izinkan pelajar makan dalam kelas sebab memang tak ada ruang untuk letak meja serta kerusi di kantin,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fakhrulrazi berkata, beliau sedia maklum mengenai masalah dihadapi di SMK Meru dan perkara itu mendapat perhatian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.

Pengendali kantin terpaksa menyediakan gerai-gerai untuk mengurangkan kesesakan ketika waktu rehat.
Pengendali kantin terpaksa menyediakan gerai-gerai untuk mengurangkan kesesakan ketika waktu rehat.

“Setakat ini kita dimaklumkan pihak PPD sedang meneliti cadangan untuk membina sebuah lagi sekolah di kawasan Dun Meru bagi menampung jumlah pelajar di sini.

“Jika cadangan ini dapat direalisasikan, kita percaya masalah kepadatan pelajar di SMK Meru dapat dikurangkan.

“Isu ini sudah lama dan sebab itu juga kita mahu pihak Kementerian Pelajaran turun padang dan mencari solusi terbaik bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang untuk menambah kontena untuk dijadikan kelas.

“Tapi ini bergantung kepada keperluan dan ada tempat sesuai untuk menempatkan kontena ini.

“Mungkin ini dapat membantu pihak sekolah, sekali gus memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!