Kompaun RM10,000 tidak perlu jelas serta-merta

Takiyuddin Hassan - Foto Bernama
Takiyuddin Hassan - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA, - Individu yang dikompaun RM10,000 akibat ingkar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021 tidak perlu menjelaskan denda itu serta-merta, dan mereka juga boleh merayu dengan pihak diberi kuasa bagi mengurangkan jumlah kompaun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jumlah kompaun yang ditulis atas notis saman bukanlah sesuatu yang muktamad, kerana individu terbabit boleh membuat rayuan berdasarkan budi bicara pegawai yang diberi kuasa.

"Ordinan itu menyebut tidak melebihi RM10,000. Ia boleh jadi RM100 atau RM1,000.. bergantung kepada bentuk kesalahan," katanya pada sidang media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, di sini pada Jumaat.

Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021 menyatakan mana-mana individu yang melanggar SOP sewaktu tempoh pelaksanaan darurat, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000, dan ia berkuat kuasa 11 Mac.

Seksyen 25 itu turut memperuntukkan bidang kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai diberi kuasa untuk mengkompaun mana-mana kesalahan di bawah akta berkenaan.

Baru-baru ini tular di media sosial seorang individu dikompaun RM10,000 kerana gagal mencatat kehadiran di sebuah restoran melalui catitan buku atau aplikasi MySejahtera.

Takiyuddin berkata, kompaun itu juga tidak perlu dibayar segera kerana individu diberi tempoh sebulan, dan dalam tempoh ini mereka boleh pergi ke Pejabat Kesihatan Daerah dan berjumpa dengan pegawai yang diberi kuasa untuk membuat rayuan.

Beliau berkata, jika individu mahu kompaunnya diturunkan lagi, mereka juga boleh pergi ke mahkamah bagi proses perundangan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, 330 notis kompaun RM10,000 telah dikeluarkan kepada individu yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Individu dikompaun RM10,000 boleh buat rayuan: Ismail Sabri

330 individu dikompaun RM10,000 ingkar SOP PKP: KPN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!