Carut, adab dan dilema sang guru
INSIDEN yang dapat dilihat daripada klip video sekumpulan pelajar menunggang motosikal dengan perkataan yang tidak sepatutnya diconteng pada belakang baju seragam iaitu mencarut dan mencaci guru sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan sekadar mengguris hati dan perasaan kita tetapi turut menceritakan situasi mental dan sikap segelintir generasi muda di negara ini.
Ia mendorong kita untuk bertanya, apakah yang mereka pelajari di sekolah? Bukankah mereka ke sekolah untuk menjadi manusia yang berilmu dan beradab?
Walaupun pertanyaan ini sebenarnya tidak adil kerana tidak mencerminkan imej keseluruhan sikap pelajar secara majoriti tetapi hakikat yang insiden itu benar-benar berlaku sekali gus mengundang perdebatan dan pertanyaan tentang nilai moral serta adab sopan generasi sekarang dan apa yang boleh kita lakukan untuk memperbaikinya.
Dua orang murid yang menconteng perkataan mencarut di belakang pakaian seragam mereka telah pun dihadapkan ke mahkamah. Sementara menunggu hukuman, mereka dibebaskan dengan ikat jamin.
Sudah pastinya kita tidak mahu membuat spekulasi apakah bentuk hukuman yang akan menanti mereka tetapi yang boleh kita berbicara ialah kenapakah ini terjadi dan apa yang boleh kita semua pelajari daripada insiden ini.
Seorang guru kanan yang telah mengajar lebih 35 tahun dalam satu mesej peribadi kepada penulis telah bertanya, tidakkah kejadian pelajar mencarut ini membuatkan kita terfikir, apakah yang telah dilakukan oleh guru hingga anak-anak ini sangat marah dan melepaskan geram sebegitu rupa sekali?
“Rasanya anak-anak ini tidak menujukan kata-kata itu kepada semua guru. Mungkin seorang dua sahaja guru di sekolah mereka.
“Akal mereka masih mentah untuk menilai baik buruk tindak tanduk mereka. Mereka dan kita sentiasa membuat silap. Mereka telah dihukum oleh masyarakat sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman. Kita, guru yang diamanahkan mendidik anak bangsa, tidakkah merasakan sedikit silap itu datangnya daripada sikap kita terhadap anak murid itu sendiri?” tanya beliau.
Wujud dendam
Guru itu juga menyebut, mungkin juga tutur kata kita menyentap perasaan mereka sehingga mereka berdendam.
“Sebagai seorang guru, saya mendoakan moga-moga anak-anak ini menjadi insan yang berguna suatu hari nanti dan berjasa kepada seluruh umat.
“Moga ALLAH ampunkan dosa kita yang gagal memanusiakan mereka yang diamanahkan kepada kita... Guru tetap guru, berjiwa pendidik, mahukan yang terbaik buat anak didiknya walaupun hatinya terhiris dan luka...,” tambah guru itu.
Namun begitu, ada guru yang berpandangan, kelemahan disiplin murid sekarang disebabkan peraturan-peraturan yang banyak memihak kepada murid.
Katanya, guru tidak lagi boleh merotan. Guru perlu berlembut dengan murid dan ada yang melihat guru seakan menjadi hamba di sekolah dan murid pula menjadi raja.
“Keadaan menjadi lebih sulit apabila ibu bapa terlebih sayang anak dan ini semua terjadi kerana kuasa merotan telah direntap daripada tangan guru.
“Bagi saya, serahkan semula kuasa merotan, baru guru boleh mengajar dan mendidik. Bukan kerana guru gila hendak merotan sangat tetapi faktor gerun itu perlu ada dalam proses untuk mendidik dan mendisiplin murid-murid.
"Cakap memanglah senang. Minta cikgu guna psikologi... Cuba datang mengajar baru tahu langit tinggi rendah. Baru tahu dunia sebenar seorang guru berdepan dengan pelbagai ragam dan sikap murid,” tegas guru itu.
Beliau malah menempelak dengan berkata, mereka yang membuat peraturan duduk di kayangan. Tidak berpijak di bumi nyata untuk berdepan dengan ibu bapa dan pentadbiran sekolah.
“Ini belum diambil kira lagi jika sentuh sedikit anak-anak murid, esok ibu bapa datang 'serang’ sekolah,” ujarnya kepada penulis.
Pandangan itu sekali gus menimbulkan pertanyaan apakah guru-guru sudah bosan dengan peraturan yang ada.
Dan yang paling dikhuatiri adalah jika guru datang ke sekolah sekadar untuk mengajar tanpa jiwa dan raga. Tidak mahu mengambil tahu akan hal-hal yang lain.
Seorang guru veteran pula menarik perhatian dengan menyatakan bahawa sistem pendidikan Malaysia sendiri telah mengalami perubahan dalam alaf baharu.
Perubahan itu sama ada dari segi kurikulum yang berpusat kepada pelajar dalam usaha untuk membentuk jati diri dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Walau bagaimanapun, pengaruh media sosial, didikan ibu bapa, pengaruh sekeliling dan kawan meninggalkan kesan serta pengaruh ke atas diri remaja (pelajar) yang boleh mencetus masalah disiplin.
Sikap dan mentaliti masyarakat terhadap sistem pendidikan juga telah berubah. Dahulu, kata guru itu, ibu bapa menyerahkan anak-anak kepada guru untuk mengajar dan mendidik supaya anak menjadi 'insan’ yang berguna.
Sebab itulah ibu bapa dahulu sering berpesan, boleh merotan anak mereka dengan syarat jangan sampai cacat.
Ayat itu acap kali kita dengar suatu ketika dahulu tetapi tidak lagi kini kerana hukuman merotan sudah diharamkan di sekolah.
Zaman sudah berubah. Tambahan pula campur tangan pihak-pihak tertentu dalam sistem pendidikan, guru tidak boleh menghukum murid, apatah lagi mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan, campur tangan keluarga, guru 'diserang' di sekolah − semua ini meletakkan kedudukan guru dalam dilema.
Apapun, didikan itu bermula dari rumah. Ibu bapa perlu kembali memainkan peranan yang lebih signifikan. Sifat-sifat insani yang telah luntur oleh masalah persekitaran dan pengaruh media sosial ialah harga yang perlu dibayar atas nama pemodenan dan pembangunan.
Pada masa yang sama, ibu bapa berhadapan dengan situasi mengimbangi tuntutan mengejar kebendaan bagi menampung kos kehidupan keluarga yang semakin tinggi dan tanggungjawab mendidik anak-anak, menerapkan nilai-nilai budaya, adab dan sopan-santun yang semakin hilang dari pandangan dan sistem kehidupan.
Mungkin sudah tiba masanya semua pemegang taruh duduk berbincang bagaimana untuk mengembalikan nilai dan budaya kita dalam sistem pendidikan negara.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!