Gara-gara pinjam RM700, ah long ugut culik ahli keluarga

Ah long mengugut akan membaling cat dan menculik ahli keluarga mangsa jika gagal membuat bayaran tersebut. Gambar hiasan
Ah long mengugut akan membaling cat dan menculik ahli keluarga mangsa jika gagal membuat bayaran tersebut. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Empat lelaki disyaki ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long ditahan selepas mengugut mahu menyimbah cat dan menculik ahli keluarga peminjam sekiranya tidak menjelaskan bayaran pinjaman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, kesemua mereka berusia di antara 21 hingga 22 tahun ditahan di sebuah premis di Butterowrth dalam serbuan yang dilakukan pada Khamis.

Menurutnya, serbuan berkenaan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang tidak tahan diganggu kumpulan terbabit selepas meminjam RM700 pada awal tahun ini.

"Mangsa memaklumkan yang dia telah membuat bayaran melebihi jumlah pinjaman yang diterima, namun pihak sindiket masih mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran dengan kadar bunga yang tinggi.

"Kumpulan lelaki itu mengugut akan membaling cat dan menculik ahli keluarga mangsa jika gagal membuat bayaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Mohd Rosni berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas 10 buah telefon bimbit, dua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), empat simkad dan wang tunai berjumlah RM3,375.

"Selain itu, polis turut merampas dua buah kereta, dua buku catatan, beg silang serta dua set anak kunci," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rosni berkata, siasatan mendapati sindiket ini menawarkan pinjaman wang disyaki tanpa lesen dan membuat ugutan sehingga mendatangkan ketakutan terhadap mangsa yang melibatkan mangsa warga tempatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sindiket berinteraksi dengan mangsa menggunakan aplikasi WhatsApp bagi tawaran pinjaman wang.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi selama lebih setahun di negeri ini dengan menyewa premis di sekitar Butterworth dan menawarkan pinjaman wang yang disyaki tanpa lesen yang sah daripada pihak Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Kesemua suspek yang ditahan menerima bayaran atau gaji antara RM2,000 hingga RM3,500 sebulan bagi menjalankan kegiatan ini dan mereka menggunakan aplikasi sosial seperti WhatsApp untuk mengiklankan tawaran pinjaman wang kepada mangsa," katanya.

Beliau berkata, semakan dibuat mendapati mendapati seorang daripada tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka.

Katanya, kesemua mereka kini direman dan akan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).

Sementara itu, Mohd Rosni mengingatkan orang ramai agar menghindarkan diri untuk membuat pinjaman wang daripada ah long.

"Orang ramai juga dinasihati supaya sentiasa berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang yang diiklankan melalui laman media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan sebagainya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!