Melaka United tak rela hilang mata
MELAKA United akan turun dengan semangat juang tinggi dalam misi meraih mata penuh ketika melayan kunjungan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam ini.
Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata, pasukannya tidak boleh lagi keciciran mata selepas hanya meraih keputusan seri dalam dua perlawanan ketika menentang Sabah dan PJ City FC.
"Bagi saya peluang bermain di tempat sendiri menentang Pahang amatlah penting kerana kita kehilangan mata ketika menentang Sabah di tempat sendiri dan ketika menentang PJ City FC.
"Sekarang, kita kena mencari mata penuh untuk dapatkan semula tahap keyakinan pemain. Peluang bermain di tempat sendiri menentang Pahang harus digunakan sepenuhnya oleh pemain untuk mendapatkan tiga mata," katanya.
Dalam pada itu, Zainal turut menafikan jentera tengah pasukannya tidak berfungsi dengan baik sehingga memaksa pemain penyerang seperti Alex Goncalves dan Sony Norde turun kebawah untuk mendapatkan bola.
"Bagi saya bukan kurang berfungsi. Kita telah bermain dengan pasukan Sabah dan PJ City FC yang mana mereka mempunyai sistem yang sama iaitu bertahan dengan ramai pemain. Jadi untuk Alex atau Sony saya memang arahkan mereka turun untuk mencari bola dan mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
"Saya melihat ada peningkatan prestasi yang dipamerkan kedua-dua pemain itu dalam perlawanan menentang PJ City berbanding perlawanan pertama menentang Sabah minggu lalu. sebab itu kita dapat banyak peluang menyerang dalam kawasan lawan.
"Namun, sudah tentu saya mengharapkan peranan lebih besar boleh diberikan oleh Alex dan Sony. Mungkin masih terlalu awal untuk menilai tahap kemampuan gandingan kedua dua mereka di atas padang.
"Saya percaya sedikit demi sedikit kedua-dua mereka akan menemui rentak dan keserasian untuk membawa Melaka United meraih kemenangan demi kemenangan selepas ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!