Semakan semula PGK antara pencapaian besar kerajaan
PUTRAJAYA - Semakan semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) daripada RM980 ke RM2,208 merupakan antara pencapaian terbesar Unit Perancang Ekonomi (EPU) dalam tempoh setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kali terakhir semakan semula itu dilakukan adalah pada tahun 2005.
“Nilai PGK berdasarkan metodologi baharu 2020 ini akan membantu kerajaan merangka dasar dan program yang lebih inklusif dan membasmi kemiskinan dengan lebih berkesan.
“Kaedah pengukuran kemiskinan dikemaskini untuk penggubalan dasar serta pelaksanaan strategi yang lebih berkesan.
“Kemiskinan isi rumah diukur berdasarkan tiga kaedah iaitu pendekatan mutlak, relatif dan pelbagai dimensi (MPI),” katanya pada sidang akhbar khas sempena Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya pada Khamis.
Mustapa berkata, MPI mengukur kemiskinan dalam konteks yang lebih luas dan indeks tersebut melibatkan aspek pendapatan dan bukan kewangan merangkumi kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas.
Katanya, aspek kemiskinan sememangnya menjadi antara keutamaan beliau ketika ini susulan ramai rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19.
Menurutnya, semua agensi di bawahnya termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia giat menjalankan kaji selidik di lapangan untuk mendapatkan data lengkap mengenai taraf kehidupan rakyat ketika ini.
Sementara itu, ditanya mengenai pelan pemulihan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Mustapa memberi jaminan organisasi itu mampu membawa hasil positif pada 2023.
Katanya, jaminan itu diberikan bersandarkan kepada sukuk jaminan kerajaan berjumlah RM9.9 bilion, di mana RM6 bilion akan digunakan bagi mengurangkan beban hutang Felda.
Mustapa berkata, dua fokus utama diberikan dalam memastikan Felda berada di landasan tepat untuk kembali pulih iaitu mengurangkan beban hutang dan membolehkan organisasi itu membeli saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).
“Kita menjangkakan dalam tempoh 2023 (diikuti) dengan langkah-langkah meningkatkan kecekapan, penstrukturan kewangan, pengurangan hutang yang telah diambil, Felda akan kembali hebat nanti.
“Kedudukan kewangan Felda juga dijangka kembali kukuh pada 2023,” katanya.
Selain itu, katanya, masalah hutang yang dihadapi peneroka juga turut menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.
“Dari sudut peneroka pula, kerajaan telah membuat keputusan untuk menghapuskan kadar faedah dan lain-lain. Ini juga akan mengurangkan bebanan peneroka,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan dokumen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) digubal susulan ia masih belum dibentangkan di Dewan Rakyat, Mustapa berkata, setakat ini beberapa kemas kini kecil dilakukan.
Katanya, berdasarkan perancangan, RMK12 sepatutnya dibentang pada tahun lalu tetapi ditunda kepada Mac tahun ini.
“RMK12 sepatutnya dibentangkan Ogos tahun lalu tetapi disebabkan Covid-19, kita membuat keputusan untuk tunda kepada sesi Mac (tahun ini), namun apabila kerajaan isytihar darurat dan tidak ada sidang Parlimen (maka RMK12 belum dibentangkan).
“Segala dokumen telah siap. Kalau RMK12 dibentangkan tahun depan sudah pasti banyak (data) yang akan lari, tetapi kalau dibentangkan tahun ini tidak banyak sangat (kemas kini yang akan dibuat)," katanya.
Menurutnya, pandemik Covid-19 sememangnya telah banyak mengubah landskap ekonomi Malaysia.
Dalam pada itu, Mustapa meletakkan keyakinan, ekonomi negara tahun ini akan pulih berbanding tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, untuk ekonomi kembali pulih seperti tahun 2019 mungkin mengambil masa, namun kehadiran vaksin di Malaysia akan memberi nafas baharu kepada ekonomi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!