Polis Johor Bahru Utara terima 74 laporan palsu
JOHOR BAHRU - Sebanyak 74 kes laporan palsu telah diterima Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Daerahnya, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, manakala setakat Februari tahun ini, pihaknya mengenalpasti dua laporan palsu yang dibuat individu tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, laporan polis yang mempunyai unsur pelbagai itu digunakan bertujuan untuk menutup sesuatu kesalahan.
"Ini menunjukkan 'trend' yang tidak sihat dan negatif kerana kesan daripada tindakan tidak bertanggungjawab itu ia telah membazirkan tenaga dan masa polis untuk menyiasat kes yang tidak wujud.
"Sebagai contoh, disebabkan masalah keluarga, seseorang itu memberi kenyataan palsu bahawa anak dalam jagaannya diculik walhal perkara tersebut tidak berlaku termasuk mengada-adakan cerita yang tidak wujud.
"Selain itu, ada juga yang membuat laporan palsu untuk mengelak daripada didenda seperti kes kehilangan dokumen pengenalan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.
Mohd Taib berkata, memberi maklumat palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang mana merupakan satu kesalahan jenayah yang serius.
Katanya, melakukan kesalahan di bawah seksyen itu juga boleh memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksima RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
"Hukuman dan denda akibat kesalahan membuat laporan palsu lebih tinggi dan berat berbanding denda yang dikenakan oleh Jabatan Imigresen akibat kehilangan passport atau Jabatan Pendaftaran Negara kerana kehilangan kad pengenalan.
"Jadi, kenapa perlu merisikokan diri anda?," soalnya yang turut menyeru agar masyarakat untuk mengambil tindakan yang lebih rasional.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!