Cuepacs mohon rundingan lanjut dengan JPA berkenaan SSM baharu

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

KUANTAN - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap dapat mengadakan rundingan lanjut bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secepat mungkin berkenaan cadangan Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu.

Presidennya, Adnan Mat berkata, sistem baharu itu lebih komprehensif menepati kehendak semasa dengan peningkatan kos sara hidup selain disusun dengan mengambil kira pandangan daripada penjawat awam itu sendiri.

"Usul ini telah dibawa untuk perhatian bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Disember 2019 sebelum perbincangan kali pertama dengan JPA telah dibuat pada 13 Januari 2020 untuk menggantikan sistem saraan kerajaan sedia ada.

"SSM ini telah digunakan sejak tahun 2002 sampai ke hari ini cuma ada sedikit tambahan dari SSM kepada SSM plus. Justeru, kita berharap dapat mengadakan perbincangan lanjut secara terperinci bersama JPA," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada penjawat awam anjuran Cuepacs di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, bagi kenaikan gaji yang diberi pada 2007 dan 2012 hanya dibuat berdasarkan kepada keadaan dan permintaan semasa yang tiada pelaksanaan dalam bentuk sistematik supaya kenaikan itu berlaku setiap lima tahun disebabkan tiada perjanjian kolektif.

Selain itu, Adnan berkata, Cuepacs turut melakukan kajian mengenai Bekerja Dari Rumah (BDR) kepada suami yang menyambut kehadiran anak yang baru dilahirkan selain menjaga orang tua yang sedang sakit.

"Hasil kajian Cuepacs itu akan dimuktamadkan pada 9 hingga 11 April depan yang akan diserahkan kepada kementerian terlibat bagi tindakan selanjutnya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!