Sokongan Xavier kepada PM bantu kestabilan politik

Saifuddin Abdullah (tengah) menurunkan tandatangannya pada simbolik perasmian Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota Cawangan Semambu,hari ini. -Foto Bernama
Saifuddin Abdullah (tengah) menurunkan tandatangannya pada simbolik perasmian Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota Cawangan Semambu,hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Sokongan Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat membantu ke arah kestabilan politik.

Pengerusi PN Pahang Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau mengalu-alukan sokongan itu dan beranggapan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkenaan sedar betapa pentingnya untuk mewujudkan kerajaan yang stabil demi memastikan kelangsungan dan kebajikan rakyat terjaga ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.

"Soal keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hak peribadi beliau, tetapi yang penting kesediaan untuk menyokong kepimpinan perdana menteri, kerana kita perlukan kestabilan... hari ini tugas kerajaan PN untuk seimbangkan hidup dan kelangsungan hidup semasa pandemik ini,” katanya.

Saifuddin yang juga Pengerusi Bersatu Pahang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Xavier sebagai Naib Presiden dan ahli PKR, selepas merasmikan Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota cawangan Semambu, di sini pada Sabtu.

Ditanya mengenai sokongan masyarakat Cina dan India di Pahang terhadap PN, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata tumpuan kini diberikan untuk meningkatkan perkhidmatan kepada golongan berkenaan tanpa mengetepikan kaum Melayu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!