Tugas berat menanti FAM
JAWATANKUASA eksekutif baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang telah dipilih pada Kongres Tahunan FAM ke-57 berdepan cabaran getir dalam membawa industri sukan tersebut terus berada pada tahap terbaik.
Ingatan itu disuarakan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang menegaskan setiap daripada mereka mempunyai peranan besar selepas dilantik untuk tempoh empat tahun akan datang.
“Tugas saya dan ahli jawatankuasa eksekutif sangat berat. Kami perlu bekerja daripada sekarang.
“Saya akan pastikan mereka diberikan tugas yang betul dan mereka kena ingat bahawa kita akan dinilai oleh banyak pihak.
“Saya berharap dengan barisan yang baharu ini akan dapat membawa bola sepak ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-57 di Putrajaya pada Sabtu.
Kongres tersebut menyaksikan lapan perubahan berlaku dalam kepimpinan FAM untuk tempoh 2021-2025.
Perubahan membabitkan satu bagi kerusi timbalan presiden, dua kerusi naib presiden, empat kerusi Exco dan satu kerusi Exco Wanita pada pemilihan jawatankuasa baharu badan induk itu
Mengulas lanjut, Hamidin turut akan memperkenalkan kad laporan untuk menilai setiap prestasi ahli jawatankuasa eksekutif sepanjang tempoh empat tahun perkhidmatan.
“Saya akan perkenal kad laporan kepada semua Exco termasuk kepada diri saya sendiri. Ia sebagai KPI dan saya akan umumkan penilaian ini pada setiap kongres tahunan.
“Ia mustahak untuk memastikan semua yang telah menang ini buat kerja mereka. Sebelum ini ada orang kata saya seorang saja yang kerja di FAM, tetapi tidak semua orang bekerja.
“Jadi, saya nak pastikan orang nampak apa yang mereka buat,” katanya.
Dalam masa sama, beberapa perancangan telah diatur oleh Hamidin untuk tempoh empat tahun akan datang termasuk menubuhkan ‘task force’ dan mewujudkan pelancongan untuk bola sepak.
“Sebenarnya banyak lagi yang sedang berada dalam perancangan saya dan saya akan umumkan nanti,” katanya.
SENARAI AHLI JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAM UNTUK PENGGAL 2021 – 2025
PRESIDEN
Datuk Hamidin Mohd Amin
TIMBALAN PRESIDEN
Datuk Mohd Yusoff Mahadi
Datuk Sivasundaram Sithamparam Pillai
NAIB PRESIDEN
Datuk Rosmadi Ismail
Mohd Joehari Mohd Ayub
Mohd Firdaus Mohamed
Datuk Posa Majais
AHLI JAWATANKUASA EKSEKUTIF
Datuk Jefferey Low Han Chau
Saaran Nadarajah
Datuk Mohd Hisamudin Yahaya
Christopher Raj Aralanthu
Datuk Srri Shahril Mokhtar
Md Dali Wahid
Syed Yazid Syed Omar
Datuk Adly Shah Ahmad Tah
AHLI JAWATANKUASA EKSEKUTIF – WANITA
Datuk Suraya Yaacob
Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!