Hukuman berat terhadap pemberi rasuah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pengamalan undang-undang rasuah di Malaysia dilihat lebih banyak memihak kepada penerima berbanding pemberi rasuah.

Timbalan Pengerusi Yayasan Kepimpinan Ilmuwan Negara (Yakin), Kapten (B) Shamsuddin Moner berkata, tindakan undang-undang lebih berat sepatutnya dikenakan terhadap mereka yang memberi rasuah berbanding orang yang menerima rasuah.

“Jika tiada yang memberi rasuah maka tiada amalan rasuah yang akan berlaku.

“Bagaimanapun, kita dapat lihat kebanyakan yang ditahan oleh agensi penguatkuasaan adalah orang yang menerima rasuah berbanding mereka yang memberi rasuah.

“Sedangkan dalam hadis, Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Dalam pada itu, Shamsuddin turut mencadangkan agar agensi-agensi kerajaan khususnya institusi agama perlu mewujudkan satu tapisan khusus dalam memilih pekerja.

Menurutnya, tapisan tersebut bukannya khusus kepada kelayakan akademik sahaja tetapi penekanan juga perlu diberikan kepada nilai dan moral calon itu sendiri.

“Ini kerana, kita dapat lihat kebanyakan kriteria pengambilan pekerja hanya tertumpu kepada sijil dan kemahiran yang dimiliki oleh pemohon sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Institusi tersebut boleh wujudkan latihan selama dua bulan yang mengandungi aspek antirasuah, nilai moral dan pentarbiahan.

“Kursus ini dapat menilai kelayakan seseorang dalam menjadi pekerja yang mempunyai nilai dan akhlak yang baik,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu menubuhkan mahkamah khas rasuah untuk segala kes yang berkaitan rasuah dibicarakan tanpa perlu menunggu dalam jangka masa panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!