Martabat bahasa kita di mahkamah

A
A
A

PADA umumnya, tahap penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah masih boleh dipertingkatkan lagi kerana apa yang berlaku sekarang, ia memang dijadikan bahasa utama di mahkamah-mahkamah rendah.

Namun, di mahkamah atasan seperti Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, penggunaan bahasa Melayu masih asing. Keadaan itu sebenarnya agak janggal, apatah lagi setelah mengambil kira bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Negara telah merdeka lebih 51 tahun yang lalu. Di manakah letaknya nilai dan martabat bahasa kebangsaan di mahkamah? Tambahan pula, sejak 41 tahun lalu, naskhah sahih undang-undang telah ditulis dalam bahasa Melayu, selain Perlembagaan Persekutuan.

Naskhah bahasa Inggeris tidak lagi dijadikan naskhah sahih sejak dari tahun tersebut melainkan beberapa undang-undang tertentu. Seharusnya peguam dan hakim merujuk kepada naskhah sahih versi bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah dan bukan terjemahannya dalam bahasa Inggeris.

Kenapakah perkara sebegini masih berlaku? Seolah-olah terdapat penolakan penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah. Tidak lain tidak bukan ia disebabkan oleh sikap hakim dan peguam itu sendiri. Sebahagian peguam dan hakim tidak dapat menerima hakikat kedudukan bahasa Melayu di sisi Perlembagaan Persekutuan. Ia jelas dilihat apabila prosiding mahkamah masih berterusan menggunakan bahasa Inggeris.

Ramai mengatakan bahasa Melayu tidak mempunyai perkataan tepat bagi mentafsirkan sesuatu. Hujahan itu tidak dapat diterima kerana jika kita tidak memberi ruang kepada bahasa Melayu, bagaimanakah laras bahasa Melayu itu akan berkembang? Bahasa Inggeris telah jauh ke hadapan kerana penggunaannya yang meluas. Jika bahasa Melayu tidak digunakan dengan meluas, bagaimana bahasa Melayu akan berkembang?

Pihak kerajaan pernah menukar nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia dengan harapan masyarakat bukan Melayu akan lebih terbuka hati menggunakan bahasa tersebut tetapi tindakan itu diibaratkan hanya seperti mencurah air ke daun keladi.

Memang tidak dinafikan ada juga hakim-hakim di mahkamah atasan yang bertegas mengarahkan perbicaraan dijalankan dalam bahasa Melayu. Lebih ramai lagi hakim perlu melakukan perkara sama dan menulis penghakiman mereka dalam bahasa Melayu. Lebih ramai lagi peguam yang perlu tampil di hadapan hakim dan berbicara dalam bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

Penggunaan bahasa Melayu di mahkamah dihalang oleh sikap hakim dan peguam itu sendiri. Undang-undang telah mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah tetapi sesetengah ahli perundangan mengambil sikap memilih undang-undang yang mana mereka ingin patuhi dan yang mana mereka boleh ketepikan.

Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963 mempertuntukkan ‘Segala prosiding (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dalam bahasa kebangsaan: Dengan syarat bahawa mahkamah boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana pihak dalam mana-mana prosiding dan selepas menimbangkan kepentingan keadilan dalam prosiding itu, memerintahkan supaya prosiding itu (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dijalankan sebahagiannya dalam bahasa kebangsaan dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.’Walaupun seksyen di atas sangat jelas, namun mahkamah memilih menggunakan budi bicara yang luas dalam tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Sudah sekian lama kita meminggirkan bahasa Melayu. Sudah sampai masanya tindakan drastik diambil bagi memulihkan kedudukan bahasa Melayu di Malaysia.

Jika suatu ketika dahulu bahasa Melayu menjadi lingua franca (bahasa utama) Nusantara, tidak mustahil kegemilangan bahasa Melayu akan dapat dikembalikan semula.

Apa yang perlu dilakukan adalah tindakan bersepadu daripada semua pihak bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja di mahkamah, malah dalam setiap urusan harian kita.

* Datuk Zainal Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!