Perak FC ditagih berikan aksi terbaik
Biarpun bakal mengharungi aksi sukar, kesebelasan Perak FC ditagih untuk memberikan aksi terbaik apabila melayan kunjungan Terengganu FC bagi saingan Liga Super di Stadium Perak, malam ini.
Ketua jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt berkata, kejayaan meraih mata ketika terikat tanpa jaringan dengan PJ City FC dan menewaskan Sri Pahang FC, diharap membakar semangat skuad The Bos Gaurus bagi mengharungi perlawanan berkenaan.
“Bagi saya, perlawanan ini akan menjadi satu perlawanan yang sukar untuk kita kerana Terengganu FC dilihat agak mantap dan seimbang di semua posisi.
“Tetapi, dalam masa sama, kita turut melakukan persiapan bagi mengharungi perlawanan ini dengan misi untuk meraih mata berharga.
“Oleh itu, diharapkan kesemua pemain kita bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk perlawanan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Setelah mengharungi dua perlawanan, Perak FC kini berada pada kedudukan ketiga Liga Super dengan empat mata setelah terikat tanpa jaringan dengan PJ City FC di Stadium Perak, 7 Mac lalu dan menewaskan Sri Pahang FC, 2-0 di Stadium Darul Makmur pada 10 Mac.
Sementara itu Yee Fatt berkata, pihaknya berkemungkinan akan melakukan rombakan pemain pada perlawanan berkenaan.
Katanya, rombakan berkenaan dibuat bagi mengimbangi kekuatan skuad Kejor Yeop Skor itu berikutan masalah keletihan serta kecederaan dialami pemain setelah mengharungi dua perlawanan sebelum ini.
“Kita mungkin akan buat sedikit rombakan kerana selepas perlawanan dengan Sri Pahang FC baru-baru ini, mungkin ada yang cedera.
“Jadi memang kita kena lakukan penggiliran pemain supaya mereka tidak menjadi terlalu letih,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!