PKR tak terjejas tanpa Xavier
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak terjejas dengan peletakan jawatan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang meletak jawatan sebagai Naib Presiden dan ahli parti itu serta-merta pada Sabtu.
Pengerusi PKR Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah bermesyuarat dengan pimpinan PKR Cabang Kuala Langat sebelum ini dan beberapa keputusan telah dicapai.
Beliau berkata, keputusan perbincangan itu akan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa PKR Cabang Kuala Langat yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Hee Loy Sian pada hari ini (Ahad).
"Sebelum 2008, kita pernah hilang Angkatan Muda Keadilan (AMK), Timbalan Presiden dan banyak lagi pihak.
"Tapi Alhamdulillah, parti terus kuat dan maju malah ini adalah resam dalam politik malah kita perlu laluinya dengan sabar.
"Parti kena tegas dan kukuhkan kerja kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pasar Moden Sri Muda, pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Raja, Mohammad Sabu, Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau.
Xavier mengumumkan peletakan jawatan menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Twitter rasminya.
Menerusi kenyataan itu, beliau turut mengumumkan akan menjadi Ahli Parlimen Bebas dan menyokong kerajaan PN.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor turut memaklumkan jawatankuasa parti itu di peringkat Cabang Kuala Langat masih kukuh walaupun terpalit dengan isu tersebut.
"Setakat ini Cabang Kuala Langat masih kukuh dan kita akan umum beberapa keputusan yang dicapai sebelum ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Xavier umum letak jawatan Naib Presiden PKR, keluar parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!